Ducati Malaysia, di bawah pengurusan Next Bike Sdn Bhd membolot tiga anugerah termasuk di peringkat global atas peranannya sebagai pengedar rasmi ketika 'Ducati Global Dealer Conference 2022' yang berlangsung di Sardinia, Itali, baru-baru ini.
Tiga anugerah berkenaan adalah:
- 'Global Distributor Of The Year 2022'
- 'Best Marketing Team 2022 APAC (Asia Pasifik)'
- 'Best Commercial After Sales Team 2022 APAC (Asia Pasifik)'
Juga baca: Ducati Multistrada V4, V4 S 2021 kini di Malaysia, harga menarik bermula RM 136k!
Seperti kebanyakan acara lain yang terkesan akibat pandemik, persidangan tahunan itu kembali dianjurkan dalam format bersemuka pada tahun ini selepas beberapa dijalankan secara online.
Ducati Malaysia diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dennis Michael dengan anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Motor Holding, Claudio Domenicalli. Ia turut disaksikan Presiden Jualan dan Pemasaran Ducati Asia Pasifik, Marco Biondi.
Juga baca: Dijual pada harga asas RM 65.9k, Ducati Scrambler Nightshift 2021 kini di Malaysia!
Michael dalam ucapannya berkata: "Anugerah ini adalah satu kejayaan kepada seluruh keluarga Ducati Malaysia, untuk pasukan yang bekerja keras untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar setiap hari, kepada komuniti pemilik dan pelanggan kami yang bersemangat.
"Tiada sebarang persoalan yang jenama Ducati berterusan mengukuhkan kehadirannya di peringkat global, dan setiap individu dalam syarikat di seluruh dunia yang bekerja keras tanpa rasa penat.
"Kami sememangnya berbangga dan bersyukur yang segala kerja keras berterusan membuahkan hasil yang menakjubkan untuk kami."
Juga baca: Ducati Malaysia perkenal pelan pembiayaan Ducati Corse Credit, umum 6 model terbaharu!
Biondi dalam ucapannya pula berkata: "Malaysia sudah terbukti sebagai pasaran yang cukup berjaya sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan lebih daripada itu, komuniti Ducati di Malaysia berterusan berkembang, menarik pemilik baharu dan sedia ada dan mendapati pemilikannya sesuatu yang menyeronokkan.
"Ducati Malaysia sememangnya layak untuk menerima tiga penghargaan ini dan mereka akan terus meningkatkan aras tanda selepas turut diiktiraf sebagai 'Best Marketing Team' dan 'Best Commercial After Sales Team' di Asia Pasifik tahun lalu."
Sebagai info, Ducati Malaysia turut meliputi Ducati Sungai Buloh (Welly World Cycle), Ducati Penang (Sheng Fatt Motor Sdn Bhd), Ducati Kuala Lumpur (Madani Greatlink Sdn Bhd) dan Ducati Johor Bahru (Ultra Maxlink Sdn Bhd).
Juga baca: Ducati Monster 2022 rasmi mendarat di Malaysia, harga asas RM 69.9k!