BMW Malaysia baru sahaja mengumumkan kemaskini 2024 buat BMW i5 eDrive40 M Sport.
Harganya menyaksikan peningkatan sebanyak RM 300 sahaja di mana ia kini berharga RM 420,100 (harga di atas jalan, tanpa insurans, termasuk pakej waranti dan penyelenggaraan lanjutan).
Antara pembaharuan utama pada model ini adalah pengecasan AC yang dinaik taraf dari 11 kW kepada 22 kW. Jenis DC pula kekal pada 205 kW, sekaligus membolehkan pengecasan ke 80% buat bateri 83.9 kWh yang dilengkapkan hanya dalam masa 34 minit sahaja.
Sama seperti sebelum ini, BMW i5 eDrive40 hadir dengan motor belakang beroutput 340 PS/430 Nm. Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 6 saat dan jarak pandu (WLTP) boleh pergi sehingga 582 km.
Juga baca: BMW i5 eDrive40 dilancarkan di Malaysia; bermula dari RM 419,800, 340 PS/430 Nm, jarak pandu 582 km
Di samping itu, BMW Malaysia turut memperkenal pilihan warna baharu buat i5 yang merangkumi Sophisto Grey Metallic, Oxide Grey Metallic, Cape York Green Metallic dan Fire Red Metallic. Untuk bahagian dalam, pembeli ditawarkan dengan pilihan tambahan kulit Merino dalam warna putih Silverstone, selain pilihan hitam penuh dan Copper Brown.
Namun begitu, beberapa kelengkapan telah dikeluarkan untuk mengekalkan harga sama. Antaranya, rim 21-inci BMW Individual Style 954M telah diganti dengan saiz 20-inch Style 939M. Bumbung suria panoramik, penyejuk tempat duduk dan kawalan berkemasan kristal juga tidak lagi didatangkan.
Selain daripada itu, ia kekal dengan pakej M Sport, lampu depan LED adaptif, nyalaan gril Iconic Glow dan suspensi adaptif.
Bahagian kabin pula kekal dengan Head-Up Display, penyaman udara 4-zon, tirai belakang, pengecas tanpa wayar dan audio Bowers & Wilkins 655W dengan 18 pembesar suara.
Soal keselamatan pula, BMW i5 eDrive40 2024 kekal dengan pakej Driving Assistance Professional yang merangkumi ciri Distance Control with Stop and Go, Steering and Lane Control Assistant, Speed Limit Assist dan bantuan tunjuk navigasi canggih.