Bagi anda yang belum tahu, pengeluaran Proton Iriz kini sudah masuk tahun ke-7. Semalam, hatchback segmen B Proton ini baru sahaja terima kemaskini yang kedua (MC2). Menariknya, terdapat macam-macam perubahan yang Proton berikan.
Juga baca: Proton Iriz facelift MC2 2022 dilancar, bermula RM 41k, logo baru, ada model Active!
Perbandingan harga Proton Iriz facelift MC1 vs MC2 |
Varian |
Facelift (MC1) |
Facelift (MC2) |
1.3 Standard MT |
RM 36,700 |
- |
1.3 Standard CVT |
RM 39,700 |
RM 40,300 |
1.3 Executive CVT |
RM 44,700 |
- |
1.6 Executive CVT |
RM 46,700 |
RM 47,100 |
1.6 Premium CVT |
RM 50,700 |
- |
1.6 Active CVT |
- |
RM 54,000 |
Yang pertama sekali adalah tawaran varian yang kini terhad kepada tiga iaitu 1.3 Standard CVT, 1.6 Executive CVT, dan 1.6 Active CVT. Varian permulaan, 1.3 Standard MT, pula sudah tiada. Jadi, harganya kini bermula dari RM 40,300 hingga RM 54,000 (lengkap dengan pengecualian cukai SST yang sah sehingga 31 Disember 2021).
Sama seperti sebelum ini, Iriz facelift MC2 kekal dengan enjin aspirasi natural CamPro VVT yang ditawarkan melalui kapasiti 1.3L (95 PS, 120 Nm tork) dan 1.6L (109 PS, 150 Nm tork).
Kuasa masih dihantar ke transmisi CVT Punch tetapi untuk kali ini, ia diperbaharui dengan 5 nisbah maya serta mod pemanduan Eco dan Sport.
Juga baca: Hanya CVT, manual pula sudah tiada pada Proton Persona & Iriz – apa sebab?
Eksterior – ada varian ala ‘crossover’
Dari segi visual, perubahan paling ketara pada Iriz facelift MC2 adalah pengenalan varian Active. Model ini kiranya menggantikan varian 1.6 Premium yang ditawarkan sebelum ini.
Secara teknikal, Iriz Active berupa versi ala ‘crossover’. Ia hadir dengan pelapisan plastik hitam, roda 16 inci, dan rel bumbung. Eksklusif untuk varian ini juga adalah ciri lampu depan jenis LED.
Berbanding varian Executive, Iriz Active sebenarnya 20 mm lebih tinggi dan 7 kg lebih berat.
Pada masa yang sama, penampilan varian biasa juga turut diperbaharui.
Sentuhan trim krom yang ketara pada wajah depan model sebelum ini telah digantikan dengan rupa yang lengkap dengan gril Infinite Weave dan logo Proton yang baru. Bampar depan juga diperbaharui dengan DRL LED dan reka bentuk yang lebih agresif.
Perubahan pada bahagian belakang pula tidaklah ketara. Cumanya, ada unsur trim berwarna merah yang diterapkan pada bahagian bawah plat nombor pendaftaran.
Interior – Proton semakin dekat dengan Perodua
Pada bahagian dalam, perubahan yang paling ketara pada Iriz facelift MC2 adalah penggunaan infotainment jenis terapung.
Bercakap mengenainya, varian Executive dan Active datang dengan skrin infotainment bersaiz 8 inci manakala varian Standard hanya tampil dengan unit multimedia.
Lokasi corong penyaman udara tengah juga diubah ke bahagian bawah yang mana dahulunya diletakkan belah tepi pada skrin infotainment. Di samping itu, kawalan penyaman udaranya juga diperbaharui teknologi digital yang nampak lebih moden.
Walaupun tiada fungsi memory seperti yang terdapat pada Perodua Myvi, pengawalan suhu dan kelajuan kipasnya tetap menggunakan tombol fizikal yang mana ia lebih mudah dan pantas untuk dilaras.
Selain itu, Proton Iriz turut dikemaskini dengan 6 port USB. Ada 3 di depan tombol gear (1 ke infotainment & 2 untuk cas) dan 2 di bahagian tempat duduk belakang. Uniknya, 1 lagi ada di bahagian cermin pandang belakang yang mana ia khas untuk dashcam.
Kabin Proton Iriz facelift MC2 juga tampil dengan konsol tengah baharu yang turut hadir dengan perehat tangan. Nampak lebih praktikal kan? Untuk suasana yang lebih kemas, Proton turut memindah butang parking sensor, kawalan kestabilan, dan mod Eco ke depan kawasan tombol gear.
Antara ciri baru yang ada ialah kemudahan arahan suara yang boleh diberi oleh pengguna untuk melaras penyaman udara dan buka tutup tingkap. Apapun, ciri ini hanya ada pada varian Active sahaja.
Satu pembaharuan yang tidak disebut langsung oleh Proton adalah pada bahagian pencahayaan lampu kabin. Kali ini, lampu siling yang didatangkan mirip unit yang ada Proton Saga facelift. Jadi, ia tidak lagi menggunakan mentol. Walau bagaimanapun, cermin pandang belakang yang tidak berbingkai tidak lagi ditawarkan.
Juga baca: Rebiu: Proton Iriz 2019 1.6 Premium CVT, untuk yang gemar memandu
Keselamatan – taraf 5 bintang, tapi…
Proton pernah mengesahkan bahawa Iriz dan Persona 2022 telah mendapat penarafan ASEAN NCAP sebanyak 5 bintang.
Namun begitu, sistem penarafan yang dibuat adalah berpandukan protokol 2017-2020.
Nampaknya untuk aspek keselamatan, Myvi masih di hadapan memandangkan yang mana hatchback popular itu ada ciri seperti:
- Brek kecemasan autonomi (AEB, PCB)
- Forward collision warning (FCW, PCW)
- Front departure alert (FDA)
- Pedal Misoperation Control (PMC)
Konklusi – akhirnya pembaharuan yang drastik buat Iriz
Sepanjang 7 tahun, beberapa siri penambahbaikan telah diterapkan pada Proton Iriz. Antara kemaskini yang terawal ialah pada tahun 2017 yang mana mounting enjinnya ditukar kepada tiga (diadaptasi dari Proton Persona 2016).
Pembaharuan kali ini pula adalah yang kedua tetapi ia sebenarnya yang terbaik setakat ini. Bagi kami, Proton telah memperbaiki isu reka bentuk dan praktikaliti yang menyelubungi pengguna model-model yang terdahulu.
Apapun, persoalan orang ramai kekal sama – Sudahkah Proton baiki isu CVT mereka yang lembab dan bising? Nantikan rebiu penuh dari kami.
Juga baca: Berapa lama lagi Proton Iriz mampu bertahan di dalam pasaran?