Baru prebiu di Malaysia, Indonesia bakal CKD Chery Omoda E5 EV pada awal 2024
Faisal · Dec 1, 2023 09:19 AM
0
0
Setahun selepas kembali di pasaran Indonesia, Chery telah menandatangan Letter of Intent (LoI) dengan kerajaan Indonesia untuk melabur dalam usaha lokalisasi di sana.
Kata Timbalan Presiden Eksekutif PT Chery Sales Indonesia, Qu Jizong, “Menandatangan LoI ini adalah satu bentuk pengesahan buat komitmen Chery untuk menyumbang dalam industri automotif Indonesia, khususnya untuk menyokong pembangunan ekosistem EV”.
Ulas beliau, “Dalam satu tahun di Indonesia, kami makin yakin bahawa Chery boleh berkembang bersama kerajaan, rakan niaga dan juga pengguna di Indonesia. Disebabkan ini, kami komited untuk melabur melalui produksi kenderaan elektrik di Indonesia dan pengagihan ke pasaran pandu belah kanan”.
Walaupun Chery belum mengumumkan model EV mana yang akan dihasilkan, AutonetMagz membuat spekulasi bahawa ia mungkin SUV elektrik Omoda E5. Model ini telahpun diperlihatkan dalam Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 dan baru beberapa hari lepas, di Malaysia.
Selain itu, media Indonesia tersebut melaporkan bahawa tempahan Omoda E5 di sana sudah dibuka sejak Ogos. Kalau anda nak tahu, EV itu juga dijangka membuat pelancaran di Indonesia pada awal 2024 dan menariknya, pelanggan akan menerima unit CKD.
Untuk makluman anda, Chery telah membuat perjanjian dengan PT Handal Indonesia Motor untuk memasang modelnya (CKD) di kilang mereka di Bekasi. Buat masa sekarang, kilang tersebut memasang Chery Omoda 5, Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro untuk pasaran Indonesia.
Menariknya, Chery ada pelan untuk menjadikan Indonesia sebagai hab buat pasaran pandu belah kanan (RHD) di Asia Tenggara.
Kembali di Malaysia, pengeluar kereta China ini ada operasi CKD di kilang Inokom yang terletak di Kulim. Fasiliti itu memasang TIggo 8 Pro dan Omoda 5 tetapi Omoda E5 dijangka hadir sebagai model (CBU) dari China apabila dilancarkan pada suku 1 2024 kelak.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.