Alamak, tinted dah rosak! Macam mana nak cabut dahulu?
Faisal · Nov 15, 2020 12:00 PM
Filem penapis haba (window tint) adalah salah satu aksesori utama kereta anda. Ia dikhususkan untuk memantul haba dan sinaran ultraviolet (UV) oleh matahari. Dengan cuaca yang panas di Malaysia, ia menjadi satu kewajipan untuk pengguna jalan raya.
Sesetengah pihak menggunakan tinted atas dasar estetik atau privasi. Walaupun dengan pelbagai pilihan kualiti dan julat harga, tinted tetap akan haus dan lusuh apabila sampai waktunya.
Antara tanda mudah untuk anda mengenal pasti keadaan ini ialah calar, gelembung udara, dan beberapa bahagian yang sudah mengelupas. Perkara sebegini menandakan bahawa kualiti tinted tersebut sudah merudum dan perlu diganti. Memandu dalam keadaan sebegini sememangnya bahaya kerana ia mengehadkan penglihatan.
Sebelum anda ke kedai untuk mengganti dengan tinted yang baru, anda sebenarnya boleh menanggalkannya terlebih dahulu supaya keselamatan pemanduan anda sentiasa terjamin. Menariknya, menanggalkan tinted adalah satu perkara yang mudah.
Apa yang anda perlu hanyalah pisau tajam, sabun basuh pinggan, tisu kertas, botol sembur yang diisi dengan air serta pembersih cermin. Untuk itu, begini langkahnya:
1. Potong sebahagian kecil pada mana-mana bucu tinted
Walaupun menggunakan pisau, anda tidak perlu risau dengan permukaan cermin asalkan anda tidak menekan terlalu dalam.
2. Tanggalkan tinted secara perlahan
Bermula di bahagian bucu yang telah dipotong, pegang tinted tersebut dan cabut secara perlahan. Sekiranya ia tidak tanggal sepenuhnya, anda boleh guna pisau untuk mengikis bahagian tinted tersebut supaya mudah untuk anda cabutkan.
3. Semburkan sabun pada cermin
Campurkan air dan sabun pencuci pinggan ke dalam botol sembur. Kemudian, semburkan ke bahagian cermin yang sudah ditanggalkan tinted supaya ia basah.
4. Torehkan bahagian yang masih terlekat
Anda perlu guna pisau untuk torehkan bekas atau bahagian gam yang tertinggal. Namun begitu, pastikan bahagian tersebut sentiasa basah supaya cermin anda tidak calar.
5. Bersihkan cermin
Setelah cermin anda bebas daripada segala bekas tinted, gunakan pembersih cermin dan lapkan cermin sehingga bersih. Anda juga boleh menggunakan mana-mana campuran sabun yang suam. Walau apapun, gunakan tuala kertas untuk pembersihan yang terbaik. Selamat mencuba!
Pada masa yang sama, anda digalakkan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen