Proton X70 merupakan antara kereta Malaysia yang menjadi fenomena besar, hasil daripada keseimbangan antara kelengkapan, teknologi dan kualiti pada harga yang luar biasa.
Walau bagaimanapun, ini boleh menjadi satu cabaran buat Proton kerana dari saat tersebut, bagaimana lagi mereka boleh menambah baik SUV keluarga yang cukup cemerlang ini?
Sebenarnya, tiada apa yang mustahil dan inilah apa yang kami dapat rungkai dalam pandu uji di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Yang pertama sekali tentulah dari segi estetik yang mana kali ini rupa parasnya lebih holistik. Penampilan X70 facelift bukan setakat lebih matang, malah ia juga nampak lebih premium. Rim 19-inci yang digunapakai kali ini juga barangkali paling gah sejak keluaran pertama pada 2018. Malah, hasil suntingan pada bahagian bampar belakang membuatkan ia tidak lagi nampak terlalu tinggi.
Untuk bahagian dalam, pembaharuan pada animasi serta sistem operasi kluster separa digital dan infotainmen memberikan pengalaman yang lebih moden. Satu komen mengenai ini ialah resolusi kluster tidak setinggi infotainmen 12.3-inci yang baru tersebut. Apa-apapun, susunan menunya agak mudah untuk difaham dan tidak mengambil masa yang lama untuk dicari.
Dalam perihal yang sama, sistem audio pada X70 facelift tidak lagi mempunyai subwoofer pada bahagian tayar ganti dan tidak lagi memakai jenama Kenwood. Secara tidak langsung, bass kali ini tidak padu seperti model pra-facelift tetapi kalau anda masuk mod Pop, bunyi yang dihasilkan sebenarnya diibarat sudah cukup rencah. Mungkin perubahan lokasi tweeter dari pemegang pintu ke tiang-A memainkan peranan yang besar.
Soal kemasan kulit berwarna kelabu pula, ia tidaklah terlalu cerah sampai risau mudah kotor. Malah menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah dalam sesi soal jawab pandu uji ini, lebih 50% daripada responden sebenarnya tiada masalah langsung dengan pilihan warna yang agak lain ini. Cumanya, warna coklat sebelum ini tetap nampak lebih mewah.
Kemudian, beralihlah kita ke aspek yang paling banyak ditambah baik iaitu perhalusan. Bagi anda yang belum tahu, mutu kesenyapan serta kekedapan getaran dan gegaran adalah antara kekuatan yang ada pada X70 selama ini. Menariknya, Proton tetap mempertingkatkannya ke tahap lebih baik. Ini sekali lagi menjadikan X70 antara contoh terbaik dari segi NVH untuk kelasnya, walaupun memakai enjin 3-silinder. Dalam hal ini, operasi trenkuasanya juga didapati cukup senyap dan agak lancar.
Soal pemanduan pula bagaimana? Pertama sekali yang rakyat pasti ingin tahu ialah dakwaan 4% pengurangan petrol kepada hanya 7.3 liter/100 km (NEDC). Berdasarkan pemanduan agresif kami dengan laluan yang berbukit bukau, X70 facelift mengekalkan bacaan sekitar 9.+/100 km, tidak jimat tetapi tidaklah kuat seperti yang dijangka.
Berkenaan pengendalian, X70 facelift kekal dengan keunggulan talaan Proton yang menjanjikan mutu serapan dan kawalan naik turun badan yang mantap, betul-betul sesuai dengan 'jalan bulan' di Sabah yang kami lalui. Ia juga berkebolehan dalam menyokong gaya pemanduan rancak. Satu pembaharuan positif pada kali ini ialah sterengnya tidak lagi rasa terlalu ringan dan breknya tidak lagi perlu ditekan dalam untuk mendapat cengkaman yang diharapkan. Pendek kata, kualiti pemanduan X70 facelift terasa lebih semula jadi berbanding dahulu.
Jadi, ke mana segala pembaharuan pada X70 facelift membawa kita? Kalau dilihat pada konteks SUV segmen-C secara menyeluruh, Mazda CX-5 ataupun Honda CR-V tetap lebih sedap untuk dipandu. Malah, kabin Honda CR-V juga rasa lebih moden berbanding X70 facelift walaupun sudah ada ciri Ambient Light. Namun apa yang X70 benar-benar hebat ialah pada kualiti yang penting dan memuaskan kedua-dua pemandu serta penumpang seperti tahap keselesaan (kombinasi tempat duduk, suspensi dan ergonomik), kadar NVH, mutu binaan, ruang kabin dan kelengkapan yang banyak.
Semua ini pada harga bawah RM 130k sahaja. Jadi, agak sukar untuk mempersoalkan Proton X70 facelift, lebih-lebih lagi dengan unsur premium yang dimilikinya. Ditambah pula dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto yang bakal tiba tidak lama lagi, makin lengkaplah pakej yang ada pada SUV keluarga yang cemerlang ini.