2023 Toyota Innova Zenix acah "sunroof" - corong pendingin hawa atas, pelancaran minggu depan!
Haris Β· Nov 15, 2022 11:00 AM
0
0
Toyota Indonesia telah menerbitkan satu lagi imej acah untuk Toyota Innova Zenix 2023 dan kali ini kita dapat melihat sekilas pandang mengenai salah satu ciri terbaru dalam MPV 7-penumpang ini iaitu bumbung suria panoramik.
Ciri ini telah pun dibocorkan sebelum ini melalui imej paten dan melalui intipan baru-baru ini. Perlu diingat bahawa bumbung suria mungkin akan dilihat dalam varian yang lebih tinggi Toyota Innova generasi ketiga berdasarkan dan spekulasi daripada media Indonesia dan India - satu lagi pasaran penting untuk Innova.
Selain daripada tingkap besar untuk memerhati langit malam atau memanaskan kulit kepala anda, imej acah terkini turut menawarkan gambaran tentang rupa dalaman Innova yang telah direvolusikan.
Pencahayaan ambien, corong pendingin hawa yang dipasang di bahagian bumbung, DVR, hiburan tempat duduk belakang dan unit infotainmen jenis terapung adalah antara beberapa ciri lain yang tertiris.
Kesemua ini akan menjadi suatu lonjakan ke hadapan yang besar untuk Toyota Innova baharu yang dibina di atas platform TNGA-C dan ditawarkan dengan rangkaian kuasa hibrid. Butiran lanjut mengenai ciri kelengkapan dan varian lain akan didedahkan pada hari Isnin, 21-November 2022.
Buat masa ini, terdapat spekulasi bahawa Toyota Innova Zenix pacuan roda hadapan (FWD) mungkin ditawarkan dengan enjin 2.0 liter petrol atau hibrid dan kedua-dua unit akan dipasangkan dengan transmisi automatik CVT. Varian transmisi manual dan diesel dikatakan akan digugurkan untuk generasi akan datang.
"Poor man Alphard" merupakan nama julukan yang diberikan kepada Toyota Innova sebelum ini namun perincian terbaharu yang didedahkan memberikan suatu perubahan besar dari segi kualiti dan status. Adakah ia kini akan dilihat sebagai "Veloz Premium"?
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.