Toyota Innova Zenix 2023 acah gril hadapan - hadir dengan platform TNGA, pacuan depan dan enjin hibrid?
Haris Β· Oct 25, 2022 01:00 PM
0
0
Umum mengetahui bahawa Toyota Innova generasi baharu sedang dibangunkan di Indonesia dan dijangka akan dilancarkan pada tahun 2023 kelak.
Tanpa diduga, PT Toyota Astra Motor telah mengacah imej fasia hadapan sebuah kenderaan yang memberi lebih pencerahan kepada reka bentuk lampu hadapan, hud yang berotot dan gril trapezoid dengan kapsyen "The Crossing Edge is coming".
Spekulasi daripada media Indonesia dan laman rangkaian kami, Autofun.id mengatakan bahawa ini adalah pandang pertama Toyota Innove generasi baharu.
Beberapa siri pelarasan aspek pencerahan dan kontras melalui perisian pengubahsuaian imej memberi sedikit pencerahaan kepada gambar acah ini yang menawarkan lebih banyak perincian.
Menariknya, rekaan bampar yang diacah ini mirip Toyota Innova generasi sekarang tetapi tampil lebih kemas, sisipan lampu kabus segi tiga mirip Veloz serta garisan panjang menghubungi kedua-dua lampu sisi tersebut.
Maklumat Toyota Innova generasi baharu setakat ini
Sama seperti model Avanza/Veloz, Toyota Innova serba baharu dijangka akan mengucapkan selamat tinggal kepada susun atur pacuan roda belakang (RWD) semasa untuk digantikan dengan pacuan roda hadapan (FWD) yang lebih konvensional.
Susunan ini dibangunkan dengan platform TNGA-C (milik Toyota, bukan Daihatsu) serta akan membebaskan sedikit ruang untuk digunakan oleh penumpang dan meningkatkan praktikaliti agar kereta nasional Indonesia ini memenuhi permintaan global.
Selain daripada platform baharu, Toyota Innova generasi ketiga juga boleh menampilkan dua enjin 2.0 liter Dynamic Force β unit petrol dan unit hibrid. Kedua-dua enjin dikatakan hanya dipasangkan dengan automatik CVT yang menggantikan transmisi manual 5-kelajuan dan automatik 6-kelajuan pada model sekarang.
Penambahbaikan lanjut (dikabarkan) bagi Innova serba baharu termasuk brek letak kenderaan elektrik (EPB) sebagai standard manakala bumbung suria panoramik, unit kepala infotainmen 10-inci gaya terapung dan suite Toyota Safety Sense (TSS) ADAS adalah antara ciri tersedia pada varian yang lebih tinggi.
Toyota juga telah mendaftarkan tanda dagang nama baharu iaitu "Innova Zenix" di beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia manakala nama "Innova Hycross" didaftarkan di India.
Semua penambahbaikan ini akan membawa Innova ke dalam segmen pasaran premium termasuk dari segi harga. Media Indonesia telah melaporkan bahawa Toyota Innova generasi baharu akan dijual pada harga antara IDR 410 juta hingga IDR 620 juta (~RM 125k - RM 189k) dengan varian tertinggi disasarkan lebih mahal daripada Toyota Voxy.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.