Toyota Avanza RWD masih model terlaris Indonesia, apa nasib Avanza baru FWD?
Haris Β· Dec 21, 2021 08:00 PM
0
0
3 model dari Toyota menduduki tempat 5 teratas
Bekas juara, Honda Brio, kini terjatuh ke tangga ke-7
Toyota Avanza RWD mencatatkan momentum jualan yang kukuh, model baharu masih menjadi tanda tanya
Tahukah anda, pada tahun 2020, gelaran Toyota Avanza sebagai kereta terlaris di Indonesia pernah dirampas oleh Honda Brio yang merupakan sebuah hatchback segmen A. Tahun 2021 pula hampir melabuhkan tirai di mana Toyota Avanza membuat kebangkitan semula untuk menjadi model terlaris di negara seberang.
Walaupun masih belum dapat dinobatkan (kerana masih ada sebulan lagi untuk penghabisan tahun ini), menurut data jualan terkini terbitan Persatuan Industri Automotif Indonesia (GAIKINDO), Toyota Avanza menduduki tempat teratas dengan cukup selesa - terjual sehingga 56,127 unit antara Januari-November 2021.
Jumlah unit terjual yang diumumkan meliputi model generasi sebelum serta varian atas Avanza 1.5 Veloz (juga dikenali sebagai Toyota Veloz).
Perlu diingatkan bahawa Toyota Avanza generasi baharu telah dilancarkan di Nusantara pada November 2021, jadi sebahagian besar jualan datang daripada model pendahulu 'tarik belakang' (RWD).
Di tempat kedua adalah sebuah lagi Toyota, iaitu Toyota Rush dengan 48,207 unit terjual manakala model ketiga terlaris di negara itu bukanlah kereta atau kenderaa 7-penumpang sama sekali. Ia adalah pikap komersial Suzuki Carry yang terjual sebanyak 47,519 unit.
Pesaing Avanza terkuat sekadar menduduki tempat keempat, iaitu Mitsubishi Xpander yang menjual sebanyak 45,306 unit manakala kedudukan 5 teratas disempurnakan dengan trio Toyota terakhir, iaitu Toyota Innova yang menyaksikan 43,408 unit terjual.
Kenderaan terlaris Indonesia pada tahun 2020, Honda Brio tergelincir 6 anak tangga lalu jatuh di kedudukan ke-7 untuk jualan Januari-November 2021. Penurunan itu disebabkan oleh masalah bekalan cip mikro yang menyebabkan hanya 39,596 unit terjual.
Walau bagaimanapun, Honda Brio masih lagi pesaing yang hebat apabila ia menduduki tempat teratas keseluruhan pada separuh pertama tahun ini, hanya tergelincir pada separuh kedua tahun 2021 yang disebabkan oleh masalah luaran.
Model terkenal lain yang berada dalam senarai 20 kereta terlaris Indonesia pada Jan-Nov 2021 termasuk:
Toyota Raize (Perodua Ativa) – 20,449 unit (tempat ke 12)
Daihatsu Ayla (Perodua Axia) – 20,159 unit (tempat ke-13)
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.