Intro Synergy Sdn Bhd (subsidiari GoAuto Group) sebentar tadi baru sahaja melancarkan Neta V ke pasaran Malaysia, EV ini dijual pada RM 100,000 (harga di atas jalan, tanpa insurans), sekaligus meletakkan ia sebagai EV termurah di negara setakat ini, RM 530 lebih rendah daripada BYD Dolphin Standard Range.
Ciri kelengkapan Neta V termasuklah lampu depan projektor halogen automatik dengan lampu DRL LED, lampu ekor LED, rim aloi 16-inci, upholsteri kulit sintetik, paparan infotainment gaya potret 14.6-inci, kluster instrumen digital 12-inci dan 6 pembesar suara.
Kit keselamatan untuk Neta V agak asas, merangkumi kelengkapan seperti dua beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, henti auto, ABS, EBD dan kawalan kestabilan. Sama seperti EV lain dalam segmennya, Neta V tidak mempunyai tayar ganti dan sebaliknya dilengkapi dengan kit pembaikan tayar.
Pada bahagian luar, Neta V hadir dengan 6 pilihan warna iaitu
Sakura Pink, Sky Blue, Moonlight Green, Midnight Gray, Cyan dan White Storm.
Sebagai sebuah EV, Neta V dikuasai motor elektrik depan yang menghasilkan 95 PS/160 Nm. Pecutan 0 - 50 km/j hanya mengambil masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi pada 120 km/j.
Dengan berbekalkan bateri NMC berkapasiti 38.5 kWj, jarak geraknya (kitaran NEDC) boleh pergi sejauh 380 km. Dari segi pengecasan, jenis AC menyokong sampai 6.6 kW, manakala jenis pantas DC sehingga 100 kW. Intro Synergy mendakwa bahawa pengecasan pantas buat Neta V boleh mengecas dari 20 - 80% dalam masa 30 minit sahaja.
Secara amnya, pembeli ditawarkan dengan dua pilihan iaitu EV Starter Package yang menawarkan aksesori penting seperti pengecas rumah (termasuk pemasangan), V2L dan naik taraf seperti kit badan, but belakang berkuasa, filem penapis haba, pembuang CO2 dan insurans. Pilihan kedua pula pakej bebas faedah yang dilanjutkan sehingga 7 tahun. tertakluk pada terma dan syarat.
Setiap pembelian lengkap dengan waranti 5 tahun/150,000 km, manakala bateri dan pengecas on-board disokong sehingga 8 tahun/180,000 km. Badan Neta V sendiri datang dengan waranti 10 tahun/200,000 km.
Buat masa sekarang, Neta V diimport (CBU) dari China, tetapi ada pelan untuk dipasang lokal (CKD) dengan Careplus. Ia dijangka bermula pada akhir 2024.