BMW Motorrad Malaysia hari ini telah melancarkan 2020 BMW R 18 First Edition terhad sebanyak 18 unit saja di Malaysia. 2020 BMW R 18 menyertai barisan model motosikal BMW Motorrad di Malaysia dan menandakan ketibaan model cruiser BMW ke pasaran ini.
Sekilas pandang, 2020 BMW R 18 First Edition mengambil inspirasi dari warisan cruiser BMW sebelum ini iaitu BMW R5 tetapi dengan secubit teknologi terkini sebagai pelengkap.
Kemasan krom memenuhi segenap penjuru motosikal ini seperti lampu hadapan, ekzos, panel meter, penutup enjin dan hendal sekaligus dipadankan dengan warna hitam glos yang berkilat.
Bukan sekadar cantik di mata, 2020 BMW R 18 First Edition turut dilengkapi dengan enjin jenis ‘boxer’ bersesaran 1,800 cc. Enjin empat lejang, dua silinder yang diperbaharui tersebut hadir dengan aci sesondol dengan pacuan rantai (chain-driven camshaft) dengan sejukan minyak/udara.
Kuasa disalurkan melalui klac ringkai bercakera tunggal (single-disk dry clutch) dengan transmisi 6 kelajuan. Ia mampu menjana sehingga 92 PS kuasa kuda dengan tork maksimum berjumlah 158 Nm dengan kelajuan tertinggi mencecah 180 km/j.
Antara kelengkapan sebuah cruiser warisan dengan penambahan teknologi adalah:
- Lampu hadapan dan belakang LED
- Sistem Brek Anti-Kunci Integral BMW Motorrad
- Kawalan Stabiliti Automatik (ASC)
- Tiga mod tunggangan: Rock, Roll dan Rain
- Kawalan tork enjin (MSR)
- Meter instrumen bulat dengan paparan multifungsi
- Sistem Tunggangan Tanpa Kunci
- Gear Undur
Dengan setiap pembelian 2020 BMW R 18, pembeli akan menerima 3 lencana BMW tembaga, topi BMW R 18, kepala tali pinggang BMW R 18 dan beberapa kelengkapan kecil lain yang eksklusif.
Para pemilik juga boleh menikmati manfaat-manfaat tambahan dengan rangkaian servis yang bertaraf tinggi seperti Minyak Enjin Premium, Servis dan Program Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh didapati di laman web BMW.
Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans dengan Waranti Terbaharu Bertempoh 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia) BMW R 18 First Edition adalah RM 149,500.00.
Unit pandu uji BMW R 18 First Edition bakal disediakan di bilik pameran BMW Motorrad Heritage yang terpilih, ia merangkumi Auto Bavaria Ara Damansara, Chear Motorrad Puchong dan El Chong Motor Sungai Jawi.