Sejak model sulung Yamaha Y15ZR diperkenalkan Hong Leong Yamaha Motor (HYLM) pada 2015, ia memang seperti sudah ditakdirkan untuk menguasai pasaran ‘Super moped’ tempatan.
Selepas dua versi, yang terbaharu pada 2019, popularitinya tetap utuh meskipun tidak banyak kemas kini baharu diberikan terutama dari sudut teknologi dan prestasi. Malah sekalipun harganya turut dikritik sebagai melampau, ia tetap tidak menggugat takhtanya di negara ini.
Ketika pelancarannya, Y15ZR boleh disifatkan sebagai pencetus revolusi apabila menggunakan pelbagai teknologi yang sebelum ini jarang ada pada motosikal kapcai seperti sejukan cecair dan blok pembakaran condong 90 darjah.
Tetapi selaras dengan kemajuan teknologi, kelebihan itu kini boleh dianggap 'purba' ketika pesaingnya yang lain antaranya Honda RS150, Benelli RSF150 dan SYM VF3i menggunakan pelbagai cara bagi menawan hati pengguna.
Sekali pun timbul kritikan terutama daripada peminatnya sendiri yang mahukan penambah baikkan yang ketara pada versi terbaru, Yamaha tetap tenang sebelum mereka akhirnya melancarkan ‘YSuku’ generasi ketiga Exciter 155 VVA di Vietnam, penghujung tahun lalu.
Dan selepas beberapa bulan, model berkenaan ‘berkemungkinan besar’ bakal dilancarkan untuk pasaran tempatan, esok.
Justeru, bagi mengimbas Kembali apa yang membuatkan YSuku kekal sebagai 'Super Moped' nombor satu Malaysia. Ini rumusan daripada kami di WapCar.
Apa yang 'best' tentang Y15ZR
1. Jenama
Jika Honda menguasai pasaran kereta tempatan, Yamaha adalah 'raja' bagi segmen motosikal. Jenama Jepun ini sememangnya sudah cukup dikenali seluruh dunia dan dengan menggunakan namanya saja, ia boleh memberikan keyakinan kepada pengguna.
2. Reka bentuk
Rata-rata pemilik Y15 menyatakan alasan utama mereka membeli motosikal ini adalah kerana reka bentuknya yang 'hensem' dan itu adalah lumrah manusia.
Sejak dahulu lagi, Yamaha memang terkenal dengan reka bentuk motosikal yang dianggap merentasi zaman. Selain itu bagi anak muda, ia juga antara cara mereka untuk 'memancing' teman wanita.
3. Alat ganti yang mudah didapati
Tidak ada motosikal yang sempurna. Kami tidak mahu bercerita panjang lebar mengenai masalah jentera ini atau sebagainya kerana ia agak subjektif. Tetapi bagi pemilik Y15ZR, pilihan alat ganti untuk mereka terlalu banyak. Bukan saja yang ‘original’, malah banyak alat ganti ‘aftermarket’ juga berada di pasaran.
Selain itu, boleh dikatakan, semua bengkel motosikal di negara ini tahu untuk 'menggodek' jentera ini. Jadi selain menjimatkan, ia juga memudahkan.
4. Mudah untuk dinaiktaraf
Alasan ini bukan saja terpakai kepada mereka yang 'poket berkepuk' malah kepada yang mempunyai bajet yang 'ciput'. Disebabkan popularitinya, terlalu banyak aksesori atau 'part' aftermarket untuk peningkatan prestasi atau untuk menambahkan kehenseman atau kelajuan jentera ini berada di pasaran.
Kerana persaingan yang banyak, pilihan juga meningkat sama ada untuk golongan 'bangsawan' atau marhaen.
5. Keselesaan ketika menunggang
Daripada respon pengguna Y15ZR, apa yang tidak dapat dinafikan adalah jentera ini 'sedap' ditunggang. Tempat duduknya juga dikatakan lebih selesa berbanding pesaingnya yang lain kerana lebih landai. Kerana itu, ramai konvoi membabitkan jentera ini dilihat di jalanan.
6. Terbukti di litar lumba
Jentera Y15 memang terbukti mampu menguasai pentas perlumbaan terutama di kejohanan tempatan seperti Cub Prix atau antarabangsa, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC). Ia sudah terbukti namun taktha yang dipegang selama bertahun-tahun akhirnya dirampas Honda pada tahun lalu.
7. Harga jualan kondisi terpakai tinggi
Berikutan popularitinya, harga Y15 di pasaran terpakai adalah antara paling tinggi dalam pasaran ketika ini yang jauh mengatasi pesaingnya yang lain. Anda boleh lakukan carian di laman web jual beli sekarang.
Antara kritikan terhadap Y15ZR
1. Harga tak lagi sepadan dengan spesifikasi
Jika melihat kepada peningkatan teknologi yang diberikan kepada versi kedua Y15ZR, ia jelas tidak sepadan dengan harganya yang tinggi. Ia membuatkan peminatnya sendiri geleng kepala.
2. Enjin lama, transmisi 5 kelajuan
Alasan ini paling popular. Ketika versi terbaharu Y15 dilancarkan pada tahun lalu, ia masih menggunakan transmisi 5 kelajuan ketika kesemua pesaingnya mempunyai 6 kelajuan.
Tetapi masalah ini sudah diselesaikan apabila varian ketiga. Untuk enjin pula, sekalipun masih relevan, tetapi ketiadaan teknologi seperti VVA membuatkan ia dikritik penggunanya sendiri.
3. Paling perlahan berbanding pesaingnya (Standard kilang)
Kelajuan tertinggi Y15ZR pada standard kilang adalah sekitar 138 kmj, ada yang mendakwa ia paling perlahan dalam kelasnya. Tetapi jika ia diberikan modifikasi yang terbaik, ia boleh menjadi jentera paling laju dalam kelasnya.
Kesimpulan
Tidak dapat dinafikan kehebatan yang dimiliki oleh jentera yang diberi julukan YSuku ini. Tidak kira di jalanan atau di litar lumba, reputasinya sebagai ‘raja kapcai’ memang terbukti dan tugas yang digalas untuk menjadi pengganti kepada 125Z mahupun RXZ dilaksanakan dengan cukup baik.
Jadi, adakah V3 yang bakal tiba akan terut ‘mengganas’ atau membuatkan takhtanya dirampas pesaingnya yang lain? Ia pastinya perkembangan yang baik untuk disaksikan.