Top 4 Proton Limousine dan Executive yang 'rare' dan unik!
Zamil Syaheer Β· Feb 5, 2021 08:00 PM
0
0
Limousine dan executive merupakan kereta sedan mewah yang mempunyai jarak roda yang lebih panjang daripada kenderaan sedan biasa. Selalunya kenderaan jenis begini digunakan oleh Perdana Menteri, golongon kenamaan (VIP), Menteri kabinet, atau orang yang mempunyai status tinggi kerana ia merupakan satu symbol kemewahan dan kekuasaan.
Permulaan kereta jenis limousine dan executive bagi Proton bermula pada awal tahun 1990, dimana Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Dr Mahathir menyeru EON untuk mencari cara dan langkah yang perlu dilakukan untuk menghasilkan kenderaan sebegini.
Hasilnya, tercipta kerjasama diantara EON dan syarikat berpengalaman dari Australia untuk menukar model standard Proton ke versi lebih panjang. Penukaran itu berjaya, lantas Tun Mahathir mendorong EON untuk menceburi peluang untuk produksi komersial Proton yang dipanjangkan dengan secepat mungkin.
Berdasarkan ini, Automotive Conversion Engineering Sdn Bhd (ACE) telah didaftarkan pada 25 Ogos 1990 dengan tujuan untuk menukar model standard kereta Proton. ACE kemudian telah diberikan lesen pembuatan eksklusif oleh kerajaan untuk perniagaannya. Tanpa membuang masa, mari kenali model yang limousine dan executive yang pernah ditawarkan oleh Proton suatu ketika dulu.
Proton Saga/Iswara
Proton Saga/Iswara Executive
Berbanding model sedan standard, Proton SagaExecutive ini 254 mm lebih panjang daripada sedan standard (4,545 mm vs 4,311 mm). Dalamannya sama seperti model standard, dan dilengkapi dengan perehat tangan untuk penumpang belakang.
Seperti poster iklan diatas, ada pilihan untuk penutup tiang di bahagian tengah.
Semasa pengenalannya, Proton Saga Executive ini dijual pada harga RM 49,700 (1991).
Proton Saga/Iswara Grand Limousine
Ciri premium ialah bumbung dengan lapisan vinil, rim aloi 14 inci, unit penghawa dingin depan dan belakang, tingkap berkuasa depan dan belakang.
Bagi Iswara, ada tiga jenis jarak panjang yang ditawarkan, iaitu 4.8 meter, 5.1 meter dan 5.5 meter. Nak panjang, sedang-sedang, atau pendek sikit, takde hal.
Khas untuk model limousine, ia dilengkapi dengan pelindung angin belakang, perehat tangan tengah untuk penumpang belakang, dapra dan lapisan krom sisi, bumbung baldu dan karpet mewah.
Proton Saga Grand Limousine dipertontonkan buat pertama kali pada Julai 1990 di Pameran Perdagangan Antarabangsa Shah Alam dan dilancarkan secara rasmi pada bulan September 1990 oleh Rafidah Aziz di Carcosa Seri Negara.
Kapasiti pengeluaran ketika itu adalah 10 ke 15 unit sebulan, memerlukan kepakaran lima ke enam pekerja.
Proton Wira
Proton Wira Executive
Proton juga pernah menawarkan Wira varian Executive dengan jarak roda 254 mm panjang berbanding standard.
Menariknya, anda boleh memilih samaada anda inginkan model Sedan ataupun Aeroback. Memang gempak betul Proton pada masa itu.
interior Executive sama dengan Wira standard kecuali tambahan trim kayu di papan pemuka.
Proton menawarkan Wira Executive dengan 2 jenis enjin iaitu 1.6 liter 4 silinder 4G92P (113 PS dan 137 Nm) dipadankan dengan transmisi 4 kelajuan automatik dan 1.5 liter 4 silinder 4G15P (85 PS dan 123 Nm) dengan transmisi 3 kelajuan automatik.
Proton Wira Grand Limousine
Katanya hanya 25 unit sahaja yang dibina. Ia mempunyai jarak roda tambahan 915 mm dari Wira sedan standard. Malah, ia juga dibuat Australia dan bukannya dipasang secara tempatan.
Wira Grand Limousine ini dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri seperti:
televisyen dengan pemain video
antena TV ‘boomerang’
kemasan kulit "Connolly"
meja siap laci perahat kaki bersaiz penuh
cermin pembahagi ruang privasi antara depan serta belakang
Lapik lantai belakang bulu biri-biri
Lampu bacaan di tiang belakang
Trim kayu di papan pemuka
Rim 5 bilah yang sama seperti varian 1.6
Dari segi trenkuasa pula, ia menggunakan enjin 1.6 liter 4 silinder 4G93 dengan 113 PS dan 137 Nm tork.
Proton Waja
Proton Chancellor
Proton Chancellour 250 mm lebih panjang dari Waja standard (2,850 mm vs 2,600 mm) dan ia dilengkapi enjin 2.0 liter 6A12 V6 dari Proton Perdana V6, menghasilkan 150 PS dan 179 Nm.
Ia menggunakan transmisi 4 kelajuan automatik dengan ‘Fuzzy Logic'. Menurut Proton, kelajuan maksima yang boleh dicapai adalah 205 km/h. Malah, Chancellor juga menggunakan resipi Lotus Ride & Handling bagi kawalan yang mantap.
Prototaip model ini telah menjalani ujian 200,000 km di Sepanyol di atas permukaan ‘Belgian Pave’, tempat dimana ketahanan model Lotus diuji. Panel bumbung ‘one piece’ direka khas untuk model ini.
Seperti limousine dan executive lain dalam senarai ini, ia bukan setakat Waja yang dipanjangkan kerana banyak perubahan telah dilakukan pada casis. Semua hasil kerja ini membuatkan Chancellor lebih keras daripada Perdana Executive.
Proton Chancellor disasarkan untuk pegawai tinggi kerajaan, ketua korporat dan eksekutif kanan. Harga jualannya? RM 138,000 (2005).
Proton Waja Grand Limousine
Model ini agak misteri, kerana ia bukan Proton Chancellor yang dipanjangkan. Malah, ia masih menggunakan nama Waja.
Tidak banyak imej dan juga maklumat lanjut yang kami boleh perolehi. Barangkali sama seperti Proton Perdana, model ini khusus untuk kegunaan pihak kerajaan serta beberapa golongan elit.
Apa yang kami rasa paling padu tentang Waja Grand Limousine ini adalah ia menggunakan enjin 2.5 liter V6 6A13 daripada Mitsubishi Galant. Lain macam!
Proton Perdana
Proton Perdana Executive (Generasi Pertama)
Mula diperkenalkan pada 1995 dengan enjin 2.0 liter 4 silinder 4G63 yang menghasilkan 135 PS dan 176 Nm. Pada tahun 1998 barulah enjin 2.0 liter V6 6A12 diperkenalkan. Ia menghasilkan 148 PS dan 179 Nm.
Proton pertama yang dilengkapi dengan ABS dan kawalan pelayaran dan menerima talaan Lotus Ride & Handling. Ianya 250 cm lebih panjang dari Perdana standard.
Ada ‘tray’ di bahagian belakang tempat duduk depan, penghawa dingin di tengah, jam, dan pemain video. Selain itu, terdapat varian khas yang dilengkapi dengan kotak konsol ‘mobile office’, LCD TV 6.5 inci dan juga pemain VCD.
Paling banyak digunakan oleh kerajaan Malaysia, pemimpin negara, orang kenamaan, kedutaan konsulat atau komisen tinggi, peguam dan sebagainya.
Proton Perdana Limousine (generasi pertama)
Sama seperti Proton Waja Grand Limousine, tidak banyak maklumat yang ada tentang Proton Perdana Limousine.
Menariknya, terdapat kewujudan model Perdana Limousine sebelum bermulanya zaman enjin 2.0 V6. Kami tidak pasti enjin apa yang digunakan, tetapi rasanya ejin yang sama dengan model standard SEi iaitu 2.0 liter 4 silinder 4G63.
Proton Perdana ‘Accordana’ (generasi kedua)
Berdasarkan Honda Accord generasi kelapan, Hanya dua limousine dihasilkan untuk penggunaan eksklusif oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin.
Juga terdapat tiga limousine ‘bespoke’ tambahan untuk Najib Razak dan Muhyiddin Yassin, serta satu unit pandu kiri khas untuk Perdana Menteri Turkey, Recep Tayyip ErdoΔan.
Ada dua versi, satu yang dipanjangkan sebanyak 457 mm untuk kegunaan para Menteri kabinet. Tiada perubahan di dalam seperti versi standard. Yang paling panjang adalah versi 813 mm untuk kegunaan Perdana Menteri dan hanya 5 unit sahaja yang dihasilkan.
Perdana Limousine yang anda lihat ini adalah khas untuk bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir.
Tun M menambah sentuhan peribadi mengikut kehendaknya, bermula dengan roda OZ Racing Italia 150 dan kabin belakang khas berwarna merah, lengkap dengan mesin Nespresso bersepadu.
Kedua-dua tempat duduk individu di belakang mempunyai pelarasan elektrik dengan kawalan yang dipasang pada kad pintu ala Mercedes-Benz. Sistem audio teater rumah Bose juga dapat dilihat.
Di bahagian depan pula, ia mempunyai butang push-start yang diletakkan di tengah, brek parkir elektronik, dan sesuatu yang agak luar biasa, iaitu pemilih gear berputar ala Jaguar.
Kaji selidik lebih lanjut juga mendapat terdapat juga model Perdana Limousine yang mengambil asas dari model yang dijual untuk orang awam.
Melihat dari panjang pintu di tengah, kami rasa ini adalah model dengan panjang 457 mm. Tidak pasti sama ada ini digunakan untuk Perdana Menteri atau Menteri kabinet, tetapi ia nampak macho!
Konklusi
Setakat ini, tiada lagi model khas limousine atau executive Proton yang dihasilkan oleh ACE sejak diambil alih oleh Geely, namun syarikat tempatan itu masih lagi beroperasi sehingga ke hari ini.
Ini membuktikan betapa hebatnya kerja anak tempatan, kerana hampir kesemua limousine/eksekutif di dunia adalah kereta potong sambung yang diperkukuhkan dan menepati piawaian kejuruteraan yang ketat dan bukan setakat potong dan sambung sahaja.
Dalam senarai ini, mana satukah limousine atau executive yang anda minat?
More than 10 years experience, specialising in Motorsports, Advanced Driving, Event Management & Creative Design. He enjoys driving (drifting, actually) anything RWD with a proper LSD over the limit. Versatility is his motto and mantra.