Ketika berita mengenai pemilikan Yamaha Y16ZR 2021 sedang rancak dibualkan di media sosial ketika ini, terselit satu perkhabaran menarik apabila timbul imej sebuah 'Super moped' sedang menjalani tunggang uji di jalanan Malaysia.
Tanpa berselindung juga, dapat dilihat dengan jelas perkataan jenama Aveta di bahagian 'fairing' kanan motosikal berkenaan.
Aveta adalah jenama motosikal terbaharu di pasaran tempatan dan syarikat berkenaan sudah melancarkan beberapa model termasuk kapcai Aveta VS110, bulan lalu.
Berbalik kepada imej tunggang uji itu, pemerhatian lanjut melihat reka bentuk motosikal itu tampak mirip seperti model Rato SVR180 yang dijual di pasaran China.
Berdasarkan imej itu juga, ia sememangnya tampak seperti motosikal dalam segmen 'Super moped' dengan rekaan lampu depan dan belakang yang unik serta runcing.
Memetik laporan media automotif tempatan, Arena Motosikal, Rato SVR180 dilancarkan pada Oktober tahun lalu. Kapcai berkenaan dibina oleh Rato Motorcycle dan didakwa bakal dieksport ke negara luar.
Dari sudut spesifikasi, Rato SVR180 tidak menggunakan enjin bersesaran 180 cc seperti namanya tetapi sebaliknya 149.2 cc dengan teknologi suntikan bahan api EFI dan menggunakan transmisi enam kelajuan.
Kuasa yang dijana ialah 15.6 Ps pada 9,000 rpm dengan tork maksimum 12.8 Nm pada 9,000 rpm.
Apa yang menarik adalah Rato SVR180 mempunyai kapasiti tangki bahan bakar yang cukup besar iaitu 7 liter.
Selain itu, ciri-ciri yang ada pada motosikal ini tidak kalah daripada jenama 'Super moped' yang ada di pasaran tempatan dengan ia turut dilengkapi dengan panel meter digital TFT, lampu LED, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang.
Spesifikasi tayar juga sama dalam segmen kapcai besar iaitu bersaiz 90/80-17 (depan) dan 120/70-17 (belakang).
Tiada maklumat lanjutan mengenai motosikal berkenaan dan jika ia dilancarkan oleh Aveta, deretan pesaingnya cukup banyak termasuk model serba baharu dari Yamaha, Y16ZR 2021 dan beberapa lagi model hangat lain.
Apapun, kita tunggu saja pengumuman daripada Aveta.