Perodua Aruz dilancarkan di Singapura - varian 1.5 X sahaja pada harga RM 286k!
Haris · Apr 13, 2021 04:00 PM
0
0
Perocom Auto Pte Ltd, pengedar kenderaan Perodua di Singapura telah melancarkan Perodua Aruz secara rasminya. Pelancaran ini juga menandakan bahawa ia adalah SUV 7 penumpang pertama oleh Perodua yang ditawarkan di Singapura.
Harga yang ditawarkan adalah SGD92,999 (RM286,409) dan Singapura juga menjadi pasaran eksport pertama yang menerima Perodua Aruz.
“Kami berbesar hati dapat berkongsi kelebihan Aruz – antaranya ruang yang luas, tahap keselamatan yang tinggi, serba boleh, praktikal dan cekap bahan api – dengan jiran selatan kami,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Dengan jualan hampir 58,000 unit di Malaysia sejak pelancarannya pada 2019, Perodua Aruz merupakan SUV terlaris di Malaysia pada 2019 dan 2020.” tambah beliau lagi.
Model yang ditawarkan di Singapura hanyalah varian 1.5 X iaitu varian pengenalan untuk Perodua Aruz. Lebih menarik lagi, tinjauan pada media sosial Perodua Singapore menunjukkan maklum balas yang baik untuk model Perodua Aruz ini.
Spesifikasi enjin juga masih dikekalkan iaitu enjin 1.5 liter dual VVT-L yang menjana sehingga 103 PS kuasa kuda dengan 133 Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 4 kelajuan.
Sejak tahun 1997, Perocom Auto telah menjual beberapa model dari generasi Perodua Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama dan ketiga, Viva, Axia dan Bezza. Ketika ini, hanya Perodua Myvi dan Perodua Bezza sahaja yang dijual di samping Perodua Aruz yang baru dilancarkan.
Selain Singapura, Perodua juga mengeksport ke Brunei, Sri Lanka, Mauritius, Seychelles, Fiji dan Indonesia.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.