Honda Jazz generasi kedua (Honda Jazz GE) adalah sebuah hatchback yang agak premium ketika pelancarannya. Lihat sahaja harga 2 varian yang dijual, Honda Jazz Grade S (RM104,800) dan Honda Jazz Grade V (RM109,800), kedua-duanya mempunyai harga atas RM 100k.
Boleh didapati pada harga bawah RM 50k pada masa kini, adakah Honda Jazz GE berbaloi untuk dibeli? Apatah lagi, dengan harga yang premium dibayar oleh pemilik pertama. Adakah susut nilai menjadi kelebihan anda?
Generasi Honda Jazz
Tahukah anda, Honda Jazz direka sebagai sebuah ‘MPV kecil' dengan rekaan mono-box atau one box. Ia disasarkan sebagai sebuah kenderaan pelbagai fungsi dengan rekaan dalam yang boleh diubah; menjadikan Honda Jazz sebagai sebuah kenderaan yang praktikal.
Hadir di Malaysia pada tahun 2003, Honda Jazz generasi pertama (Honda Jazz GD) hadir ke Malaysia dengan enjin i-DSI dan enjin i-VTEC. Honda Jazz GD menerima facelift pada tahun 2006.
Pada tahun 2008, Honda Jazz generasi kedua (Honda Jazz GE) tampil ke Malaysia. Ia hanya ditawarkan dengan enjin i-VTEC. Pada tahun 2012, Honda Jazz GE ditawarkan dengan pilihan hibrid. Honda merupakan penjual no 1 kereta hibrid di Malaysia pada tahun 2011. Menjelang tahun 2012, Malaysia merupakan pasaran kenderaan hibrid terbesar di Asia Tenggara.
Generasi seterusnya hadir pada tahun 2014 dengan Honda Jazz generasi ketiga (Honda Jazz GK). Inilah model yang mendominasi hatchback segmen B sehingga memaksa Toyota dan Perodua turut mengemaskini hatchback masing-masing. Ia masih menggunakan enjin i-VTEC dengan teknologi Earth Dreams Honda.
Honda Jazz GD terlalu lama untuk dipertimbangkan, manakala Honda Jazz GK masih agak terkini. Hal ini bermakna, Honda Jazz generasi kedua (Honda Jazz GE) adalah Honda Jazz yang paling sesuai dibincangkan untuk pembelian secara terpakai kali ini.
Masalah pada Honda Jazz GE
Honda Jazz GE banyak memperbetulkan sebarang masalah pada Honda Jazz generasi terdahulu, lebih-lebih lagi masalah transmisi CVT Honda. Honda Jazz GD merupakan percubaan pertama Honda dengan transmisi CVT ketika itu. Walaubagaimanapun, transmisi CVT masih perlu dijaga dengan baik kerana ia tidak lari dari masalah, misalnya gearbox slip.
Selain daripada itu, jangkakan masalah alternator rosak selepas mencapai jarak perbatuan melebihi 100,000 km. Ini perlu diperhatikan oleh pemilik baharu. Terdapat juga masalah pada starter yang dilaporkan oleh sesetengah pemilik tetapi bukan semua orang mengalami masalah ini.
Honda Jazz GE merupakan permulaan generasi model Honda Jazz yang dipasang di Malaysia, oleh itu, jangkakan juga sedikit sebanyak kualiti pemasangan yang kurang baik berbanding CBU. Bukan untuk merendahkan kualiti tempatan tetapi itulah hakikatnya.
Jika anda mahukan Honda Jazz hybrid, ia lebih kurang bermasalah dan lebih disyorkan cuma enjin hybrid selalunya adalah topik ngeri bagi sesetengah pembeli. Untuk lebih bacaan mengenai kenderaan hybrid, ikuti artikel penuh di sini.
Panduan memilih Honda Jazz GE
Ini mungkin sesuatu yang kurang disebut-sebut tetapi Honda Jazz GE mengalami peralihan dari segi lokasi pembuatan justeru memang terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua model CBU dan CKD.
Mengikut kronologi, Honda Jazz GE dilancarkan pada tahun 2008 dengan facelift diperkenalkan pada tahun 2011. Kemudian, versi CKD dilancarkan pada tahun 2013 sehinggalah ditamatkan pada tahun 2014.
Kesemuanya masih menggunakan enjin 1.5 liter i-VTEC L15A dengan 120 PS kuasa kuda dan 146 Nm tork.
Honda Jazz hybrid misalnya, varian CKD tiada ciri seperti Hill Start Assist, cruise control, one touch lane change, wiper automatik, kawalan audio pada stereng dan paddle shifter yang terdapat pada kereta CBU. Tombol isyarat juga terletak di sebelah kiri stereng manakala butang pada stereng dikurangkan berbanding model CBU.
Kereta CKD mempunyai brek drum belakang dan 2 beg udara hadapan. Model CBU mempunyai brek cakera depan dan belakang dengan 6 beg udara. Model CKD juga memperolehi gear L (tiada pada model CBU) dengan meter minyak F - E berbanding 1 - 0 pada unit CBU.
Jika anda boleh menemui Honda Jazz GE versi CBU dengan jarak perbatuan yang rendah, ini adalah digalakkan namun Honda Jazz GE versi CKD yang lebih terbaru masih lagi baik. Lebih penting adalah untuk melihat kepada tanda-tanda penggunaan yang cemerlang dengan servis berkala yang terjaga.
Kesimpulan
Honda Jazz generasi kedua (GE) masih boleh didapati dalam harga yang agak memuaskan; sekitar RM 35k ke atas yang menandakan bahawa kereta ini masih dicari-cari oleh peminat Honda. Perubahan lokasi pengeluaran dari CBU ke CKD mengubah sedikit sebanyak tanggapan terhadap kualiti.
Bagi model Honda Jazz GK yang lebih baru, ia masih berumur tidak lebih dari 6 tahun yang menjadikan bahawa ia suatu pembelian yang lebih berbaloi. Apatah lagi dengan berita pengguguran model Honda Jazz yang akan digantikan, tentunya ia akan menjadikan Honda Jazz sebagai sebuah model yang dicari-cari pada masa akan datang.
Mudah, dapatkan kereta yang dibeli dengan pantas!
2019 Honda Jazz 1.5 S
Upgrade
Add your car