Honda Accord sudahpun memasuki generasi ke-11 dan ia yang paling canggih setakat ini. Walaupun pengeluaran di Jepun sudah dihentikan, terdapat satu sinar harapan untuk pembeli di sana.
Maksud di sini ialah Honda Jepun baru sahaja mengumumkan bahawa Accord generasi ke-11 akan dilancarkan pada suku ke-2 2024 dan ia hanya akan hadir dengan trenkuasa hybrid e:HEV.
Secara teknikal, trenkuasa tersebut menggunakan enjin petrol 2.0L berkitaran Atkinson yang digandingkan dengan 2 motor elektrik melalui transmisi e-CVT. Di Amerika, output keseluruhan buat nadi ini adalah sebanyak 204 PS.
Berdasarkan imej-imej yang telah Honda Jepun dedahkan, model di sana akan tampil dengan kluster digital 10.2-inci yang lebih ringkas dan ia menggunakan pemilih gear jenis shift-by-wire, berbanding tombol gear konvensional yang ada di kebanyakan Accord di pasaran lain.
Satu lagi perbezaan adalah pengguna satu tombol utama yang boleh menukar mod kawalan ke beberapa fungsi yang mana ia menggantikan panel kawalan penyaman udara.
Dengan panggilan ‘Experience Selection Dial’, ia boleh mengawal penyaman udara, audio dan pencahayaan, semua melalui satu tombol bulat itu sahaja. Untuk pengetahuan anda, ciri ini juga ada di Accord pasaran China.
Juga baca: Honda Accord 2023 serba baharu mula tembus pasaran China, ditawarkan dengan sistem e:PHEV
Selain itu, Accord generasi ke-11 di Jepun juga akan menampilkan ADAS Honda Sensing 360 yang mana ia lebih mantap dan akan menyokong pemanduan tanpa tangan.
Dari segi harga, ia hanya akan diumumkan pada tahun 2024 dan setakat ini, Honda Jepun telah mendedahkan bahawa ia bakal hadir dengan varian Touring dan Sports Line.
Bagi anda yang belum tahu, Accord generasi ke-11 ada diintip di Thailand dan Indonesia juga sudah membuat prebiu. Apapun, ia tidak akan menembus pasaran Malaysia.
Malah, Honda Malaysia pada Ogos lepas mengumumkan bahawa keluaran Accord semasa akan tamat pada akhir tahun 2023. Ia dipasang di Melaka (CKD) dan ditawarkan dengan 2 varian seperti berikut:
- Accord 1.5 TC – RM 187,400
- Accord 1.5 TC-P – RM 197,400
Juga baca: Honda Accord 2024 tak masuk Malaysia, tapi pasaran Indonesia baru buat debut ASEAN, anda sedih?