GP Portugal. Fabio Quartararo terus garang, Rossi 'kecundang' lagi!
Khairil ยท Apr 19, 2021 10:00 AM
0
0
Sensasi baharu pasukan Monster Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo sekali lagi membuktikan kehadirannya bersama pasukan itu sebagai tepat apabila menakluk perlumbaan GP Portugal, semalam.
Kemenangan di Litar Portimao itu adalah yang kedua berturut-turut diraih penunggang muda kelahiran Perancis itu selepas dia turut mengungguli GP Doha, dua minggu lalu.
Ia sekaligus menyaksikan bekas pelumba Petronas Yamaha SRT itu memintas kedudukan pendahulu kejuaraan daripada rakan senagaranya, Johan Zarco. Melengkapkan kedudukan podium adalah penunggang muda Ducati, Francesco Bagnaia dan juara dunia musim lalu, Joan Mir dari Suzuki.
Mengakui Yamaha melakukan peningkatan yang ketara pada 2021, Quartararo turut menyatakan kekuatan mentalnya sebagai antara sebab kejayaan itu dicapai.
"Yamaha melakukan peningkatan yang besar berbanding tahun lalu. Tetapi bagi saya secara mental, saya merasa lebih kuat," kata penunggang berusia 21 tahun itu. "Tahun lalu selepas Aragon kami hampir kehilangan peluang untuk berentap sehingga akhir dengan Joan (Mir) untuk kejuaraan.
"Ia amat mengecewakan yang kami kehilangan tempoh berkenaan. Tetapi saya banyak belajar. Apabila jentera tidak begitu baik, saya sentiasa berfikir negatif, tetapi saya mengubahnya kali ini dan kini saya sentiasa berfikir positif."
Jaguh Repsol Honda, Marc Marquez yang membuat kepulangan semula selepas hampir sembilan bulan tersisih menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
Begitupun, malang buat legenda Itali, Valentino Rossi yang tempatnya di Monster Yamaha digantikan Quartararo pada musim ini apabila dia gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh.
"Hari ini (Semalam) lebih baik kerana kami memperbaiki beberapa pelarasan ke atas jentera dan menggunakan tayar kompaund keras, yang memberikan saya perasaan lebih baik.
"Kelajuan saya juga lebih baik tetapi malangnya, apabila kamu bermula dari belakang, ia sentiasa seukar. Saya kehilangan sedikit masa selepas selekoh pertama dan ketika saya berfikir saya boleh berada di kedudukan 10 terbaik, saya kehilangan kawalan pada selekoh 11 dan perlumbaan saya berakhir. Ia menyedihkan kerana kami boleh mendapat beberapa mata di sini tetapi kami tahu kami melakukan peningkatan."
Bercakap mengenai peningkatan, rakan sepasukan Rossi di Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli hampir mendaki podium apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat. - Agensi
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.