6 petanda penyuntik (injector) kereta anda bermasalah
Faisal ยท Oct 10, 2020 11:50 AM
0
0
Kebanyakan enjin moden beroperasi melalui proses suntikan bahan api. Proses ini dijalankan dengan penghembusan bahan api ke dalam enjin oleh penyuntik. Secara lumrahnya, ia menghembuskan (atomize) bahan api dalam tekanan tinggi melalui hos kecil. Sistem yang dikawal oleh komputer enjin ini kemudiaannya menghembuskan bahan api dalam selang masa yang tertentu untuk memaksimumkan prestasi enjin.
Untuk maklumat anda, enjin diesel turut menggunakan suntikan bahan api. Namun begitu, penyuntik ini berpotensi untuk tersumbat. Penyuntik yang tersumbat boleh menjejaskan kemasukan bahan api ke dalam enjin. Hal ini terjadi apabila penapis bahan api tidak menapis zarah yang tercemar dengan baik.
Sebagai salah satu komponen pada sistem bahan api yang memberikan kuasa kepada enjin, penyuntik yang bermasalah boleh menjejaskan prestasi dan kesihatan enjin. Antara petanda penyuntik bahan api anda bermasalah ialah:
1. Pecutan yang terganggu
Sekiranya anda sudah biasa memandu sesebuah kereta, mungkin mudah untuk anda perasan akan sebarang kelainan. Penyuntik yang bermasalah boleh menjejaskan prestasi kerana nisbah udara dan bahan api untuk mengoperasikan enjin telah terganggu.
Sekiranya kereta anda melonjak dan semput secara tiba-tiba, ia mungkin berpunca daripada bahan api yang disuntik terlalu banyak ke dalam enjin. Secara tidak langsung, perkara ini membazirkan bahan api anda. Sebaliknya, enjin yang terasa lewat untuk memberikan respon atau sengguk menandakan bahawa bahan api kurang disuntik ke dalam enjin. Hal ini turut dikenali sebagai pembakaran tidak sempurna (misfire).
Antara petanda penyuntik kereta anda bermasalah ialah ganguan pada penjimatan bahan api. Apabila proses penyuntikan menjadi tidak menentu, bahan api mungkin hilang atau dibazirkan dengan begitu sahaja.
2. Kereta sukar untuk dihidupkan
Penyuntik yang bermasalah mendorong kepada jumlah bahan api yang tidak tepat dimasukkan ke dalam enjin. Hal ini menyukarkan enjin untuk dihidupkan dengan lancar.
3. Enjin terasa tidak lancar apabila bersahaja (idle)
Apabila enjin bersahaja, kemasukan bahan api ke dalam enjin haruslah konsisten. Sekiranya operasi dan putara enjin tidak lancar, mungkin terdapat masalah pada penyuntik bahan api kereta anda.
4. Bau yang pelik
Penyuntik bahan api beroperasi dalam tekanan yang tinggi. Oleh itu, hos dan getah berpotensi untuk mengalami kebocoran. Perkara ini boleh mengakibatkan tumpahan bahan api pada bahagian dalaman. Sekiranya anda mengesan bau yang pelik, lakukan pemeriksaan di bengkel secepat mungkin.
5. Simbol “check engine” menyala
Simbol ini akan menyala apabila terdapat isu atau gangguan pada pengesan dan komponen enjin. Untuk penyuntik bahan api, sebarang masalah pada sistem pembakaran atau isu elektronik boleh menghantar isyarat kepada komputer enjin dimana ia boleh menyalakan simbol “check engine”.
6. Ekzos kereta mengeluarkan asap walaupun dalam keadaan bersahaja
Asap tebal yang keluar dari lubang ekzos bermaksud sistem pembakaran pada kereta anda tidak lengkap atau pra-matang. Sistem pembakaran yang sempurna pula tidak akan mengeluarkan asap fizikal sama sekali.
Sekiranya petanda-petanda di atas jelas, penyuntik bahan api pada kereta anda mungkin bermasalah. Anda dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan dengan mekanik yang bertauliah sebelum ia melarat kerana sistem pembakaran bahan api merupakan nadi kepada enjin anda.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.