12 kereta 'rebadge' paling pelik – dari Gen.2 China sampailah ke Hilux Jerman
Mersita · Jul 31, 2021 02:00 PM
0
0
Walaupun terma ‘rebadge’ atau kereta yang dilencanakan semula cukup menjengkelkan para peminat Proton, ianya adalah sebahagian daripada adat resam dunia automotif. Ada yang dibangunkan untuk jimat kos dan ada juga yang diambil sebagai model sementara sambil menunggu model lain yang masih dalam pembinaan.
Dalam entri terdahulu, kami sudah kupas tentang beberapa usahasama paling aneh pernah dibuat antara syarikat-syarikat kereta. Kali ini, kami akan berikan pula tumpuan kepada 12 kereta ‘rebadge’ paling pelik yang anda mungkin tak pernah dengar.
Kali ini kami tidak akan fokus kepada jenama-jenama yang berkongsi syarikat induk atau ada mana-mana bentuk pemilikan antara satu sama lain. Contohnya, Subaru Justy ini tidak diterima kerana Toyota memiliki sebahagian daripada Subaru.
Dodge Attitude – Mitsubishi Attrage ‘rebadge’
Sebut saja nama Dodge, pasti anda terbayang ‘muscle car’ yang nampak macho dan berkuasa tinggi. Tapi, jika anda lawati laman sesawang Dodge Mexico, ada sebuah kereta yang nampak aneh dan janggal dalam barisan kereta ditawarkan syarikat itu.
Dodge Attitude merupakan Mitsubishi Attrage ‘rebadge’ yang dahulunya pernah dijual di sini. Tanpa lencana tiga berlian itu, ia dipasang dengan gril Dodge terkenal di hadapannya. Dikuasakan dengan enjin 1.2 liter 3 silinder, Attitude dibangunkan untuk konsumer yang pentingkan penjimatan minyak ataupun untuk penggunaan syarikat/organisasi.
Walaubagaimanapun, Attrage bukanlah satu-satunya kereta yang diberi sentuhan jenama Dodge. Generasi sebelumnya adalah berdasarkan Hyundai Accent dan Dodge Mexico juga melencanakan semula beberapa buah lagi model Hyundai termasuklah Atos dan Getz.
Europestar L3 – Proton Gen.2 dan Persona ‘rebadge’
Bertahun sebelum Geely memasuki Proton, hubungan antara harimau Malaya ini dan syarikat dari China pernah terbentuk pada tahun 2008. Youngman menjadi pengimport rasmi China bagi Lotus Cars dua tahun sebelumnya, tapi pemilik Youngman bercita-cita untuk memasang kereta dan bukannya menjual semata-mata.
Oleh itu, Lotus yang dimiliki oleh Proton ketika itu menandatangani satu perjanjian usaha sama dengan Youngman untuk memasang, menjual, dan mengekspot kereta di bawah jenama Europestar. Projek besar ini bermula dengan beberapa model kereta yang dikenali rakyat Malaysia.
Model L3 4 pintu dan 5 pintu masing-masing ialah Persona dan Gen.2 ‘rebadge’ dan ia dipasarkan sebagai “performance cars” dengan ‘ride and handling’ Lotus.
Model-model ini akhirnya tak laku dan perjanjian usaha sama itu luput pada 2012. Namun, Youngman terus menghasilkan L3 sehingga tahun 2015 tanpa pengetahuan Proton. Sejak itu, syarikat tersebut telah dibubarkan.
Pembuat kereta dari Amerika Syarikat hebat dalam dua jenis kereta sahaja; ‘muscle cars’ dan trak-trak besar. Secara amnya, mereka memang juara dalam apa sahaja dengan motor V8 besar walaupun ia menjana kuasa kuda lebih rendah berbanding kenderaan 7 tempat duduk biasa.
Tapi, bila sampai masanya untuk buat kereta kompak, jelas ia bukan kepakaran mereka. Inilah sebabnya pada tahun 1989, General Motors meminta bantuan daripada Toyota dan Suzuki untuk ‘rebadge’ beberapa model mereka menerusi satu jenama serba baru dipanggil Geo.
Jenama ini mampu bertahan kurang daripada sedekad lama saja, sebelum GM menggabungkan Geo dengan Chevrolet. Pembeli di AS mungkin berminat dengan kereta kompak Jepun, tapi apabila ia diberi lencana jenama AS, daya tarikannya hilang.
Holden Nova – Toyota Corolla ‘rebadge’
Produksi kereta Australia menjadi pupus apabila Holden Commodore yang terakhir meninggalkan kilang pemasangan pada 2017. Ia merupakan satu pengakhiran menyedihkan bagi industri automotif unik. Ini terjadi disebabkan oleh Button Plan.
Pelan ini direka pada tahun 1980-an bagi menstrukturkan semula industri kereta Australia supaya ia lebih efisien. Ini bermaksud beberapa syarikat perlu menghasilkan kereta ‘rebadge’ antara satu sama lain. Hasilnya ialah kereta-kereta Australia yang unik seperti ute (trak pikap) Ford dengan lencana Nissan dan sebuah Corolla yang ‘menyamar’ sebagai Holden.
Namun, Holden Nova bersama kereta-kereta ‘rebadge’ Toyota, Nissan, dan Ford tidak disambut baik oleh konsumer di sana. Pihak pengilang sekalipun tidak begitu menyokong Button Plan ini sehinggakan mereka dengan sengajanya mengasingkan varian-varian paling bagus daripada kumpulan model-model ‘rebadge’ ini. Akhirnya, pelan ini terbukti gagal apabila kilang-kilang kereta di Australia tutup satu persatu.
Hyundai Galloper – Mitsubishi Pajero ‘rebadge’
Hyundai ialah konglomerat gergasi yang juga mengusahakan perniagaan lain selain daripada pembuatan kereta. Ia termasuklah bahagian peralatan automotif yang berasingan dipanggil Hyundai Mobis. Walaubagaimanapun, bahagian ini, dibawah nama Hyundai Precision Industry, juga menghasilkan kereta pada tahun 1990-an.
Barisan model ini merangkumi dua model Mitsubishi ‘rebadge’, Santamo, iaitu berdasarkan MPV Mitsubishi Chariot dan Galloper. Apabila Galloper dilancarkan pada 1991, ia laku keras dan berjaya menandingi satu lagi SUV ‘rebadge’ iaitu Ssangyong Korando Family (berdasarkan Isuzu Trooper).
Galloper terus dijual sehingga tahun 2004 dan bentuk keseluruhannya kekal sama. Walaupun adanya model facelift pada 1998, kereta asas Pajero yang asal masih jelas kelihatan.
Sedan Isuzu kekal sebagai model ‘rebadge’ sepanjang jangka hayatnya, kecuali Aska generasi pertama semasa Isuzu pada masa itu berganding bahu dengan General Motors. Selepas kedua-dua syarikat itu berpisah, Isuzu memerlukan bantuan untuk pasaran kereta penumpangnya dan ia menjumpai dia rakan niaga yang tidak dijangka-jangka.
Yang pertama ialah bersama Subaru, dengan meminjamkan mereka Subaru Legacy untuk menghasilkan Aska generasi kedua. Satu-satunya perubahan yang dibuat ialah lencananya dan keseluruhan kereta masih lagi Subaru. Pilihan enjinnya juga enjin boxer 1.8 liter atau 2.0 liter.
Selepas Subaru dan Isuzu berpisah, Isuzu kemudiannya berganding bahu dengan Honda pada 1993. Berbeza dengan Subaru, sekurang-kurangnya perkongsian ini tahan lebih lama. Cukup lama untuk Aska terus kekal di pasaran dengan dua generasi Honda Accord‘rebadge’, sehinggalah tahun 2002 apabila Isuzu menarik diri sepenuhnya dari pasaran kereta penumpang.
Bukan Subaru dan Honda saja yang berganding bahu dengan Isuzu pada tahun 1990-an. Menyedari yang pasaran MPV juga cukup rancak di Jepun, Isuzu berkolaborasi dengan Nissan dimana syarikat itu bersetuju untuk meminjamkan Elgrand generasi pertama kepada mereka.
Ia akhirnya menjadi MPV kedua Isuzu selepas Isuzu Oasis (berdasarkan Honda Odyssey) walaupun Isuzu Filly itu berada di pasaran lebih lama berbanding rakan model Amerika Utaranya. Dijual antara tahun 1997 hingga 2002, Filly didatangkan dengan dua ‘trim’ iaitu E Type asas dan Filly standard.
Namun, sama seperti kereta penumpang Isuzu yang lain, ia tidak mendapat sambutan menggalakkan. Walaubagaimanapun, perkongsian antara Isuzu dan Nissan masih berlangsung sehingga ke hari ini walaupun hanya dalam bahagian kenderaan komersial. Nissan Urvan juga boleh didapati di Jepun sebagai Isuzu Como.
Kia Elan – Lotus Elan ‘rebadge’
Tahun 1989 merupakan tahun yang menyeronokkan bagi peminat kereta sport dimana Mazda melancarkan MX-5 NA. Namun, satu model kereta sport mampu-milik juga dilancarkan dalam tahun itu dan ia datang dari Great Britain.
Malangnya, Lotus Elan FWD itu akhirnya menjadi satu kegagalan besar yang melumpuhkan kewangan Lotus dan menyebabkannya ‘dipecat’ dari GM. Setelah Elan digugurkan oleh Lotus, Kia membeli hak produksinya dan meneruskan pemasangan kereta sport itu di Korea Selatan.
Walaupun ia nampak hampir serupa dengan kereta Lotus tersebut, roadster produksi tunggal Kia ini mempunyai janaan kuasa lebih rendah kerana Lotus hilang hak untuk enjin berpengecas turbo 1.6 liter Isuzu (180 PS). Enjin 1.8 liter NA-nya menghasilkan hanya 151 PS.
Ia dianggap kereta ‘rare’ masa kini dengan hanya 1,056 unit dihasilkan antara tahun 1996 hingga 1999.
Mazda VX-1 – Suzuki Ertiga ‘rebadge’
Mazda telah melencanakan semula model-model Suzuki bertahun lamanya, walaupun hampir kesemuanya hanya dijual di Jepun – kecuali Mazda VX-1 di Indonesia yang menjadi satu-satunya jenama lain selepas Proton untuk melencanakan semula Suzuki Ertiga generasi pertama.
Selain daripada namanya yang baru dan logo sayap Mazda yang menggantikan lencana ‘S’, ia memang kembar Ertiga. VX-1 dikuasakan oleh enjin K14B 1.4 liter (92 PS/130 Nm) serupa seperti Suzuki dan Proton.
Namun, VX-1 mempunyai lebih banyak kelengkapan berbanding Ertiga dan lebih mahal sedikit harganya – bermula dari IDR 179 juta (~RM 52,223). Manakala Ertiga bermula dari IDR 162 juta (~RM 47,263).
Ia tidak cukup menarik untuk pembeli di Indonesia, dan VX-1 digugurkan dari barisan tawaran Mazda pada 2017 setelah empat tahun berada di pasaran. Hanya 27 unit terjual pada tahun terakhirnya.
Mercedes-Benz X-Class – Nissan Navara ‘rebadge’
Trak pikap mewah bukanlah satu konsep yang terbukti berjaya. Lincoln membuat cubaan dua kali di AS dan kedua-duanya gagal. Maka, apa yang membuatkan Mercedes-Benz percaya yang Nissan Navara‘rebadge’nya akan berjaya di luar negara?
Pada mulanya diumumkan sebagai kereta konsep pada 2016, Mercedes-Benz menggelar X-Class sebagai “trak pikap premium sebenar pertama dunia” - walaupun kenyataan ini kurang tepat.
Sekurang-kurangnya, versi produksinya mempunyai beberapa perincian berbeza yang masih membuatkannya sebuah Merc dan bukan saja menampal lencana bintang bucu tiganya semata-mata.
Malah, enjinnya juga dibangunkan oleh Mercedes-Benz. Tapi, apa-apa pun, ia masih lagi Navara disebalik topeng Merc. Berbeza dengan coupe empat pintu atau SUV coupe, tak ramai yang menyambut baik idea ‘trak pikap premium’ dan oleh itu, X-Class menghentikan produksinya pada tahun 2020.
Suzuki Landy – Nissan Serena ‘rebadge’
Nissan Serena menjadi van mini kegemaran rakyat Malaysia namun di Jepun, anda juga boleh dapatkannya dengan lencana Suzuki. Pada mulanya diperkenalkan dengan Serena C25 generasi ketiga (tak pernah dijual di sini), Suzuki Landy ialah salah satu model OEM (original equipment manufacturer) paling lama berada di pasaran dan ia masih dijual di Jepun.
Memandangkan ia hanya model ‘rebadge’, Landy mempunyai kelengkapan dan trenkuasa serupa dengan Serena S-Hybrid. Hanya S-Hybrid sebagai Landy dikuasakan oleh enjin ‘mild-hybrid’ 2.0 liter. Versi e-Power hanya boleh didapati sebagai Nissan buat masa ini.
Harganya juga murah sedikit berbanding Serena, dengan harga bermula dari JPY 2,555,300 (~RM 98,276). Harga Serena pula bermula dari JPY 2,576,200 (~RM 99,080). Berbeza dengan kereta-kereta lain dalam senarai ini, nampak gayanya Landy akan terus kekal di pasaran selagi Serena masih lagi ada permintaan.
Volkswagen Taro bukannya trak pikap pertama keluaran jenama Jerman itu. Namanya juga bukannya mengambil inspirasi daripada sejenis keladi. Ia sebenarnya padan dengan maksud sebenar akhiran kata bahasa Jepun iaitu tarō yang bermaksud ‘anak lelaki sulung’.
Pikap ‘rebadge’ ini disasarkan untuk menembusi pasaran kenderaan utiliti 1 tan di Eropah. Pasaran ini belum pernah ditembusi Volkswagen dan ia juga menjadi sasaran Toyota. Taro dibina di dua buah kilang – ‘regular cab’ pacuan roda belakang (RWD) dihasilkan di Hanover, Jerman manakala ‘extended cab’ pacuan empat roda (4WD) dihasilkan di Aichi, Jepun.
Kesudahannya, kolaborasi ini tidak membuahkan keuntungan dan kedua-dua gergasi automotif ini mengakhiri perkongsian mereka pada 1997. Volkswagen akhirnya melancarkan trak pikap mereka sendiri yang dipanggil Amarok dan ia cukup berjaya. Amarok generasi seterusnya juga dikhabarkan akan dikongsikan bersama Ford Ranger seterusnya.
Inilah dia senarai model-model ‘rebadge’ atau model dilencanakan semula paling aneh pernah dihasilkan. Dengan globalisasi dalam dunia automotif, usaha kereta ‘rebadge’ akan terus dilaksanakan jika sesuatu jenama mahu menembusi pasaran yang bukannya kepakaran mereka. Ada yang berhasil, tapi ada juga yang gagal jika perancangan tidak dibuat dengan berhati-hati.
Kereta ‘rebadge’ mana satu kegemaran anda? Kongsikan dengan kami di Facebook WapCar – BM!
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.