Honda BR-V adalah SUV yang amat kami sarankan untuk keluarga. Kualiti binaannya agak baik, boleh muat 7 orang, dan dipasang dengan pakej dalaman Honda yang terkenal. Padankan ini dengan pakej tren kuasa yang padu dan anda akan faham mengapa BR-V sangat popular di kalangan peminatnya.
3 tahun selepas pelancarannya (model facelift kekal popular), Honda BR-V kekal sebagai pilihan yang sangat menarik bagi pembeli yang mencari pengalaman pemanduan yang berbaloi, boleh dipercayai dan tidak renyah.
Walaupun ia crossover yang agak hebat, kami temui beberapa kekurangan yang ketara pada Honda BR-V ini. Di sini, kami jelaskan 3 perkara ‘potong stim’ pada Honda BR-V.
#1 Lampu hadapan halogen: Jika anda pernah melihat model-model Honda yang baru seperti HR-V atau Civic, anda akan perasan yang kedua-duanya mempunyai lampu hadapan LED yang tampak sangat kacak dan terang. Mengapa perincian ini tidak dipasang pada BR-V kekal sebagai satu misteri.
Ya, semua kereta dibina untuk titik harga masing-masing. Tapi, apabila pesaing seperti Toyota Rush dan Perodua Aruz mempunyai teknologi LED pada lampu hadapannya, anda dah tak cukup alasan nak beri untuk jelaskan mengapa BR-V tak ada perincian yang sama.
#2 Hanya ada dua beg udara: Walaupun Honda BR-V didatangkan dengan kelengkapan sistem keselamatan yang penuh seperti VSA, TCS, dan ABS dengan EBD, memasang hanya 2 beg udara di hadapan masih tidak dapat menguatkan lagi posisinya sebagai SUV yang hebat. Ini lebih menghampakan lagi apabila kita tahu yang Toyota Rush dan Perodua Aruz didatangkan standard dengan 6 beg udara.
#3 Tiada ADAS: Lagi sekali, Rush dan Aruz diberi kelengkapan ADAS sebagai standard. Mungkin kami nampak macam ‘memilih’, dan pada satu tahap, kami memang memilih pun. Tapi, ini penting kerana BR-V adalah kereta yang akan sering digunakan untuk membawa keluarga. Kalau ada ADAS, senanglah hati sedikit.
Inilah dia, 3 aspek yang kami harap ada pada Honda BR-V. Bagi sesetengah orang, tak ada semua ini pun tak apa. Tapi, bagi orang lain, ia sesuatu yang dicari-cari. Alang-alang dah keluar belanja nak beli kereta, takkanlah tak nak kereta yang memang betul-betul berbaloi? Kami memang nak.
Tapi ingat, ini tak bermaksud yang BR-V adalah kereta yang tak elok, jauh sekali. Malah, jika dibandingkan dengan 2 kereta yang disebut tadi, tren kuasa BR-V terasa lebih padu, ia senyap bila dipandu, dan penalaan suspensionnya adalah yang paling selesa. Adakah kami masih mahu sarankan Honda BR-V? Ya, dengan sepenuh hati.