Suzuki Hayabusa 'dilahirkan' semula bagi generasi ketiga, baru-baru ini yang didakwa tampil dengan 550 komponen baharu disamping rekaan yang lebih moden, sporty dan segar berbanding model sebelumnya.
Diperkenalkan kepada dunia pada 1999, nama Hayabusa yang diambil daripada nama burung peregrine falcon iaitu burung terpantas di dunia dalam bahasa Jepun memegang takhta sebagai motosikal paling laju di dunia pada tahun sama selepas merekodkan kelajuan 312 kmj.
Selain terkenal sebagai jentera Superbike maha laju, ia juga popular dengan rekabentuknya yang unik.
Selepas malancarkan generasi kedua pada 2008, peredaran masa menyaksikan pengeluarannya dihentikan pada 2018 dengan edisi 2019 sebagai model terakhir selepas ia tidak berjaya mematuhi piawaian emisi semasa.
Begitupun, ia dilancarkan semula pada tahun ini dan sekalipun ramai beranggapan ia akan dibekalkan dengan enjin lebih berkuasa atau ditambah pendesak kuasa seperti turbo atau supercharger, ia tidak berlaku.
Tetapi, pembaharuan yang diberikan pada versi terbaharu ini tetap mengujakan terutama dari sudut reka bentuk yang dikemaskini selain peningkatan dari sudut teknologi. Justeru, menarik ke Hayabusa 2021? Ini yang kami dapat senaraikan.
1. Enjin sama, tapi lagi berkuasa
Tiada perubahan, Hayabusa 2021 masih menggunakan enjin bersesaran 1,340cc, 4 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, DOHC yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Begitupun, pelbagai komponen dalam enjin berkenaan direka semula termasuk piston, rod penyambung dan crankshaft.
Berbanding generasi terdahulu yang menghasilkan 173 Hp pada 9,500 rpm dan Tork 135 Nm pada 7,000 rpm, ia kini memiliki kuasa setinggi 187 Hp pada 9,700 rpm dengan tork maksimum 150 Nm pada 7,000 rpm. Dan paling penting, ia mematuhi piawaian emisi Euro 5.
2. Bukan pilihan utama, tapi enjin dengan pakej paling lengkap
Sebelum memutuskan menggunakan enjin yang sama, jurutera enjin Suzuki merancang untuk menggunakan enjin atau teknologi berbeza antaranya penggunaan enjin 6 silinder atau pendesak kuasa seperti turbo atau supercharger.
Tetapi pada akhirnya, kesimpulan yang diperoleh adalah enjin asal mempunyai pakej lebih lengkap bagi mendapatkan lebih keseimbangan. Ia diakui sendiri oleh salah seorang pereka enjin Suzuki, Naoki Mizoguchi yang menambah matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan tork pada jarak rendah dan pertengahan bagi menghasilkan Hayabusa yang paling pantas ketika dilancarkan.
3. Teknologi ikut peredaran zaman
Selaras dengan kemajuan teknologi, perkakasan elektronik canggih kini menjadi sesuatu yang wajib terutama dalam dunia motosikal. Bagi Hayahusa 2021, ia dibekalkan dengan teknologi ride-by-wire.
Selain itu, Suzuki turut menggunakan versi terbaharu Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang beroperasi dengan pelbagai sistem kawalan elektronik yang lain seperti six axis Inertial Measurement Unit (IMU), cornering ABS, kawalan traksi, 'cruise control', 'launch control', 'bi-directional quickshifter', kawalan brek enjin, pengawalan mod kuasa, mod tunggangan dan pelbagai lagi.
4. Lebih laju?
Dengan segala perubahan yang dibuat, ia jelas dapat meningkatkan ketahanan, kebolehpercayaan dan ketahanan motosikal itu sendiri terutama dari sudut penggunaan harian. Harapannya adalah untuk menjauhkan Hayabusa daripada sentimen di mana ia terkenal sebagai raja di garaj sebelum ini.
Mengikut spesifikasi 'standard kilang', had kelajuan Hayabusa 2021 dihadkan kepada 186 mph (299 kmj) tetapi tiada siapa mengetahui apakah angka kelajuan sebenar jika 'Cut off' itu dibuang. Mengapa Suzuki melakukannya? Sebelum ini, pengeluar motosikal dari Jepun dan Eropah sudah bersetuju mengenai had motosikal buatan mereka tidak akan melepasi kelajuan 299 kmj bagi menghentikan 'perang' kelajuan pada era 1990-an.
5. Kemaskini lain
Hayabusa 2021 masih mengekalkan kerangka sedia ada daripada aluminium namun ia juga dikemaskini bagi menjadikannya lebih ringan selain turut menggunakan subframe baharu.
Panel instrumen Hayabusa masih menggunakan empat panel meter analog yang tradisional namun digabungkan bersama skrin TFT moden yang terletak di bahagian tengah. Sistem lampu LED di bahagian depan dan belakang juga mendapat rekaan baharu.
Bagi mendapatkan tunggangan yang meyakinkan, ia menggunakan sistem brek daripada jenama Brembo Stylema selain sistem suspensi daripada KYB dengan ciri boleh laras sepenuhnya.
Selain itu, Hayabusa 2021 juga datang dengan tangki bahan api 20 liter, ketinggian tempat duduk 800 mm, tayar depan dalam siri 120/70ZR17M/C (58W) dan tayar belakang dalam siri 190/50ZR17M/C (73W) dan berat kering 264 kg.
Kesimpulan
Sekalipun menerima banyak perubahan, Hayabusa 2021 tetap akan dikenali sebagai Hayabusa jika dipandang dari sudut mana pun.
Persoalan mengenai harga pula, Suzuki Hayabusa 2021 dijual pada tanda 16,499 pound sterling (RM92,143) di England dan didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Glass Sparkle Black/Candy Burnt Gold dan Metallic Matt Sword Silver/Candy Daring Red.
Begitupun, pengedah sah Suzuki di seluruh dunia dikatakan akan mula menerima generasi ketiga Hayabusa ini pada Mac tahun ini. Bila ia akan tiba di Malaysia? Kita tunggu Suzuki Malaysia buat pengumuman.