Sumpahan trio hatchback kecil Proton – Kenapa Tiara, Savvy dan Iriz tak laku?
Mersita · Nov 6, 2021 04:00 PM
0
0
Sebelum geng Proton datang ‘bantai’ kami di ruangan komen, kami nak bagitahu yang ini bukanlah ruang bagi kami untuk sengaja merendah-rendahkan kemampuan Proton Iriz. Model facelift yang baru saja keluar di pasaran cukup padu pembaharuannya.
Namun, hatchback Proton setakat ini masih belum ada yang betul-betul bagus sehingga boleh merangkul tangga No.1 di Malaysia. Walaupun tawaran pakej hatchback terbaru dari Proton menerima penambahbaikan, adakah ia mencukupi untuk menggulingkan si “King Hatchback”Perodua Myvi?
Hakikatnya, nasib tidak begitu menyebelahi Proton Iriz. Ia sepatutnya menjadi pesaing ketat Perodua Myvi dan walaupun ia menerima segala macam pujian apabila ia dilancarkan pada tahun 2014, kemeriahan sambutan model ini mula padam tak lama selepas itu.
Situasi pasaran menjadi semakin genting bagi Iriz apabila jenama kereta “nasional” kedua itu memperkenalkan Myvi generasi ketiga pada 2017 yang didatangkan dengan kelengkapan ADAS Advanced Safety Assist (A.S.A). Ini menaikkan lagi daya tarikan si pesaing Iriz ini, pembeli pun semakin menjauh dari hatchback Proton itu.
Ini merupakan cubaan ketiga Proton dalam saingan secara langsung dengan jenama P2 tersebut. Walaupun model Iriz facelift ini sebenarnya lebih laris daripada model sebelumnya, ia masih tidak cukup kuat untuk menumbangkan Myvi. Ini membuatkan ramai tertanya-tanya, apakah ‘sumpahan’ yang telah menimpa barisan model hatchback di Proton?
Sumpahan hatchback kecil
Jika dilihat pada sejarah jualan, ‘sumpahan’ hatchback Proton ini sebenarnya hanya ‘tumpah’ pada model hatchback Proton bersaiz kecil. Model-model Aeroback Saga/Iswara dan Wira cukup popular. Begitu juga dengan Satria dan Satria Neo yang ada kumpulan peminatnya yang tersendiri, dan serba sedikit juga melarat ke Gen.2.
Satu sebab mengapa hatchback kecil Proton sering mencatatkan jualan yang rendah adalah disebabkan oleh Perodua. Lebih tepat, hatchback bersaiz lebih besar hampir tiada atau tiada langsung pesaing yang boleh menandinginya dari segi harga.
Di sinilah kita boleh nampak sejauh mana “cukai perlindungan” memberi impak kepada pasaran. Jikalaulah cukai yang memenangkan model dipasang tempatan ini dihapuskan, mungkin kita akan lihat persaingan lebih membina bagi model-model hatchback bersaiz lebih besar dari Proton.
Jika situasinya berbeza dengan sekarang, sebuah Civic EG boleh jadi dijual pada harga lebih hampir dengan Satria.
Dipendekkan cerita, masalah pada Tiara, Savvy, dan Iriz ialah mereka mempunyai pesaing dengan harga lebih kurang sama – dan pesaing ini termasuklah Kancil dan Myvi. Memang cukup mengagumkan yang Myvi boleh menumbangkan dua model berbeza keluaran Proton sekaligus.
Barangkali si Harimau Malaya berharap yang situasi sekarang berbalik ke era awal 2000-an iaitu apabila ia menawan sebahagian besar dari pasaran kereta.
Dengan keadaan persaingan sebegini rupa, ia membuatkan kita tertanya-tanya; apa sebenarnya masalah yang dihadapi oleh setiap model hatchback kecil keluaran Proton? Kenapa jualannya acapkali tidak memberangsangkan? Kami akan kupas satu persatu mengikut turutan kronologi; bermula dengan Proton Tiara.
Sumpahan Proton Tiara – Terlalu aneh dan unik
Proton Tiara merupakan model Proton pertama dan satu-satunya yang bukan ‘rebadge’ dari Asia. Tiara yang berdasarkan model Citroen AX ini dibina di kilang DRB-HICOM di Pekan, Pahang bersama-sama kereta lain yang hebat seperti Citroen Xantia dan Proton Putra.
Jujurnya, Tiara bukanlah kereta yang hebat. Malah, walaupun ia dibina berdasarkan kereta Perancis, ia tiada faktor “joie de vivre” (keterujaan) yang anda jangkakan dari Perancis.
Citroen AX itu sendiri dibangunkan sebagai kereta mampu-milik Eropah. Ia boleh dikatakan sebagai tafsiran moden bagi Citroen 2CV dan Tiara mengekalkan beberapa perincian menarik dari model asasnya (AX).
Ini termasuklah hon yang diletakkan di batang signal dan jam yang diletakkan di posisi tachometer. Warga Malaysia barangkali belum cukup bersedia untuk menerima keunikan seperti ini ketika itu.
Sekurang-kurangnya, Tiara lebih berkuasa tinggi berbanding Kancil disebabkan oleh enjin TU1/K 1.1 liter (60 PS) dari Citroen dengan kelajuan kemuncak sehingga 161 km/jam. Enjin ini dipadankan hanya dengan kotak gear manual 5 kelajuan dan ini mungkin juga menjadi salah satu faktor terbesar dalam kegagalannya untuk menarik minat warga bandar yang mahukan kemudahan kereta auto.
Selain dari itu, alat ganti untuk Tiara amat sukat untuk ditemui. Isu paling popular ialah mencari rim ganti kerana yang asal didatangkan dengan 3 lug nut dan bukannya 4 yang standard. Disebabkan oleh prestasi jualan yang sangat rendah, Proton mengambil keputusan untuk menghentikan produksi Tiara pada tahun 2000 setelah empat tahun berada di pasaran.
Sumpahan Proton Savvy – angkara 3 huruf: A, M, T
Secara dalamannya, Proton telah merancang satu pengganti untuk Tiara yang berdasarkan kereta Citroen Saxo. Walaubagaimanapun, projek itu digugurkan dan Proton merancang semula dari awal dengan satu projek baru bagi ‘Tiara Replacement Model’ (TRM) atau pengganti model Tiara.
TRM akhirnya melahirkan Proton Savvy dan ia memaparkan reka bentuk ‘original’ – berbeza dengan Tiara. Dilancarkan 5 tahun selepas pengeluaran Tiara dihentikan, Savvy masih lagi mengekalkan sedikit kejuruteraan Perancis di sebalik rekaan tempatannya.
Satu-satunya enjin yang tersedia ialah enjin D-type 1.2 liter dengan 4 silinder bersumberkan Renault yang mampu menjana 75 PS dan 105 Nm. Berbeza dengan Tiara, Savvy didatangkan dengan kotak gear tanpa klac, namun ia sebenarnya ialah ‘automated manual transmission' (AMT).
Walaupun kotak gear manual 5 kelajuan itu yang digabungkan dengan ‘ride and handling’ dibangunkan Lotus telah membuatkan pakej keseluruhan Savvy jadi menarik, kebanyakan warga Malaysia tidak begitu peduli tentang kelajuan. Apa yang mereka mahukan dalam sebuah hatchback kecil ialah praktikaliti dan mudah untuk dijaga.
Kotak gear AMT tidak begitu lancar untuk pemanduan. Tambahan pula, langkah memperkenalkan teknologi baru kepada orang Malaysia ada kalanya menjadi, ada kalanya tidak – dan AMT Proton jadi isu bagi kebanyakan pembeli. Ramai pemilik yang mengadu tentang kepayahan dalam menukar gear dan kotak gearnya juga dikatakan tidak lancar.
Barangkali disebabkan oleh perjanjian yang termeterai antara Proton dan Renault, Savvy terpaksa dipadatkan dengan kotak gear teruk yang teruk ini. Walau bagaimanapun, perkara yang sama tidak dialami dalam beberapa model Renault yang menggunakan enjin sama dan dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional.
Selain daripada kotak gear yang bermasalah, satu lagi masalah kerap didengar tentang Savvy ialah ketidakbolehannya untuk dihidupkan – selalunya disebabkan oleh penderia ‘flywheel’ yang longgar.
Hakikatnya, Savvy dibangunkan ketika zaman Proton sering menerima aduan isu kualiti pada sebahagian besar barisan produknya.
Oleh itu, kebanyakan pembeli berpaling tadah dan sebaliknya memilih Myvi yang terkenal dengan reputasi tahan lamanya. Ini titik permulaan dimana Perodua mula menjadi jenama paling laris di Malaysia.
Tanpa daya mencukupi untuk mengejar angka jualan Myvi dan walaupun ada cubaan untuk menarik pembeli dengan lebih banyak tawaran asas seperti Savvy Lite, Proton akur yang usahanya sia-sia lalu menghentikan jualan Savvy pada tahun 2011.
Sumpahan Proton Iriz – Masalahnya bukan pada CVT
Betul-betul sebelum Proton menggugurkan Savvy, jenama Harimau Malaya itu yakin bahawa cubaan kali ketiganya akan menjadi dalam usaha untuk menggulingkan Perodua dari takhtanya. Maka, ia menayangkan Proton EMAS, direka oleh Giugiaro, di Geneva Motor Show 2010 dan ia dipreviu sebagai “phoenix” bagi Proton.
Proton Iriz dilancarkan pada tahun 2014 dan jika dilihat sekilas pandang, anda boleh rasakan yang Proton akhirnya belajar dari kesilapan. Tiada lagi perkara aneh seperti pengehon diletakkan di tempat lain selain daripada stereng dan tiada lagi kotak-kotak gear yang pelik. Ia merupakan satu pembalasan yang cukup elok bagi ‘King’ hatchback kita.
Jika dibandingkan dengan model-model sebelumnya, Iriz secara jujurnya ialah hatchback yang jauh lebih baik. Isu-isu kualiti yang membelenggu jualan Savvy perlahan-lahan hilang dan ia menjadi sebuah kereta yang seronok untuk dipandu. Walaupun CVT automatiknya seringkali dicemuh, ia masih lagi jauh lebih bagus daripada kotak gear AMT.
Namun, walaupun ia sudah cukup praktikal, Iriz masih lagi gagal mengejar angka jualan Myvi. Dalam dua naiktaraf yang diberi kepada Iriz, Myvi generasi ketiga tidak banyak berubah dari berbagai aspek – termasuklah posisinya sebagai ‘King Hatchback’.
Terdapat beberapa sebab mengapa Iriz masih gagal menyaingi Myvi. Namun, salah satu sebab terbesarnya ialah bebanan kebolehpercayaan angkara model-model sebelumnya. Myvi, dari dulu hingga sekarang, tak ada masalah dan cacat cela ketara manakala bagi Proton pula, isu kualiti masih membelenggu syarikat itu walaupun mereka sudah semakin meningkat baik sejak kebelakangan ini.
Tambahan pula, Myvi lebih luas, praktikal, dan cekap minyak berbanding Iriz. Ciri-ciri ini melangkaui prestasi dan pengendalian yang menjadi kualiti terbaik dalam Iriz. Oleh itu, lebih ramai warga Malaysia lebih sanggup membeli kereta yang mudah dijaga daripada kereta yang memuaskan dari segi pemanduan.
Ketiadaan ADAS di dalam Iriz menjadi satu lagi titik lemah bagi model ini. Namun, sebenarnya Iriz memang kalah bab praktikaliti dengan Myvi.
Tak hairan lagi, ada Myvi yang digunakan untuk berniaga di pasar malam, dijadikan kafe bergerak, kereta ‘camper’ dan macam-macam lagi disebabkan oleh tahap praktikalitinya yang tinggi serta kebolehtahanan yang dipercayai.
Iriz mungkin lebih murah untuk dibeli berbanding Myvi dan naiktaraf terkininya merangkumi varian lebih tinggi dipanggil Iriz Active, ditambah lagi dengan ruang dalaman yang lebih moden. Namun, kami rasa walaupun Iriz ditambah dengan bermacam-macam perincian ‘fancy’, pembeli masih akan cenderung ke arah Myvi.
Iriz sememangnya tiada ADAS seperti Myvi. Ya, Iriz menerima keputusan 5 bintang penuh dari ASEAN NCAP, namun penskoran ini adalah berdasarkan metodologi 2017-20 yang lama. Metodologi 2021-25 yang lebih baru perlu ada ADAS bagi melayakkan sesebuah model untuk menerima penilaian 5 bintang.
Barangkali bukan sumpahan yang menimpa trio Proton dalam kategori hatchback ‘entry level’; sebaliknya ia disebabkan oleh campuran keputusan kurang bijak dan juga isu-isu kewangan yang dihadapi ketika pembangunan ketiga-tiga hatchback ini. Walaupun mereka sudah menyempurnakan resipi kejayaan mereka dengan setiap generasi yang dikeluarkan, secara ringkasnya Proton tidak dapat menyaingi tahap tawaran yang disediakan oleh Perodua.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.