Spyshot: Hyundai Staria 10 tempat duduk diintip di Malaysia, alternatif murah kepada Kia Carnival?
Faisal Β· Aug 15, 2022 12:00 PM
0
0
Hyundai Staria merupakan antara kereta yang nampak paling unik di Malaysia tetapi dengan harga RM 366,768, agak logik kalau anda sendiri susah untuk jumpa satu. Apapun, perkara ini tidak lama lagi mungkin berubah kerana kelibat varian 10 tempat duduk telahpun muncul di tanah air kita.
Intipan yang dijumpai di kawasan yang tidak diberitahu ini sebenarnya dikongsi oleh pembaca kami. Berdasarkan apa yang dapat dilihat, Staria ini nampak lebih ringkas daripada versi mewah yang mempunyai 7 tempat duduk. Anda boleh lihat bahawa gril depannya mengikut warna badan dan rimnya juga berwarna perak.
Selain ada baris tambahan pada konfigurasi tempat duduknya, bahagian kabin Staria ini juga nampak lebih ‘asas’. Antara perincian yang berbeza adalah pada sistem infotainment (bukan saiz 8 inci) dan kabin yang menerapkan satu tona warna sahaja. Apapun, ciri seperti tempat duduk kulit dan kluster instrumen digital nampaknya kekal.
Setakat ini, maklumat berkenaan trenkuasa dan spesifikasi masih belum didedahkan tetapi ia dijangka hadir dengan nadi 2.2L turbodiesel (177 PS, 431 Nm), sama dengan varian 7 tempat duduk yang ada selama ini. Begitu juga dengan transmisi automatik 8 kelajuan.
Bagi anda yang belum tahu, dalam piawaian cukai di Malaysia, kereta yang mempunyai 10 tempat duduk layak dikategorikan sebagai kenderaan komersial. Secara teknikal, kadar cukai yang dikenakan terhadap kereta ini lebih rendah berbanding MPV yang mempunyai 7 atau 8 tempat duduk.
Kalau anda nak tahu, pengiraan inilah yang dibuat pada Kia Carnival yang mana versi import (CBU) yang mempunyai 11 tempat duduk ditawarkan pada harga RM 196,340. Versi pemasangan di Kulim (CKD) yang ada varian 7 / 8 tempat duduk pula ditawarkan dari julat RM 231,228 ke RM 261,228.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.