Proton X50 dimodifikasi dengan talaan Stage 2, siap ‘lowered’ - senjata ampuh di litar Sepang!
Haris · Oct 5, 2021 01:00 PM
0
0
“Oleh kerana tiada siapa yang berani cuba, biar kami yang lenjan Proton X50 ini!”, begitulah kata-kata Lee Jian Xian, pemilik Proton X50 yang membenarkan SUVnya dilenjan di litar Sepang pada hujung minggu lalu.
Dia yang tidak asing dalam komuniti Proton X50 sebelum ini pernah menerima perhatian media kerana melakukan modifikasi kepada Proton X50 miliknya sejurus selepas keluar dari bilik pameran. Masih ingat Proton X50 Bumblebee?
Kali ini, Lee telah hadir dengan sebuah lagi Proton X50 yang ditala untuk dilenjan di litar Sepang.
‘Senjata’ terbarunya itu mempunyai sejumlah modifikasi yang khas untuk perlumbaan. Antara modifikasi yang dilakukan adalah, F&R caster bush kit, kit brek Brembo 6 Pot 380mm, pad brek Endless CCRG, talaan ECU - Stage 2 dan strut bar Super Circuit.
Kesemua ini meningkatkan kuasa Proton X50 daripada stok kepada 200whp (+50whp daripada stok) dan 310 Nm tork (+70 Nm daripada stok).
Menariknya, tiada sebarang talaan dan perubahan kepada kotak gear dwi-klac (DCT) 7-kelajuan pada Proton X50 ini. Ia masih stok dan terbukti mampu dilenjan di atas litar, dengan catatan masa pemanduan sehingga 4 jam!
SUV tersebut turut dikendalikan oleh Mark Darwin, seorang pemandu profesional yang tidak kurang hebatnya. Gandingan ini mencatatkan masa satu pusingan terbaik 2:47 saat manakala purata kelajuan adalah sekitar 122 km/j!
Dia turut memuji Proton kerana memberikan enjin dan transmisi stok dengan ketahanan yang sangat mengagumkan. Proton X50 yang hanya ditala dari segi prestasi pemanduan, talaan ECU tanpa sebarang modifikasi kotak gear membuktikan ketahanan aspek trenkuasa adalah sangat baik.
Bagi mereka yang meragui kebolehan Proton X50 ini, apa kata tengok dulu aksi Mark Darwin dengan SUV kompak yang ditala untuk prestasi ini seperti berikut. Sumber: Facebook Lee Jian Xian
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.