Kenderaan rasmi Sultan Johor dipuji ada 'taste', Genesis G90 Limousine berharga dari RM 584k!
Kehadiran DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini mencuri tumpuan peminat kereta dengan kenderaan rasmi baharu iaitu Genesis G90 Limousine. Baginda yang tidak asing sebagai peminat kereta sejati memperlihatkan citarasa tinggi dan pengetahuan meluas dengan pemilihan limousine jenama Korea ini sebagai kenderaan rasmi.
Model Genesis G90 Limousine ini telah dilancarkan pada tahun 2019 mempunyai panjang 5,945 mm dengan jarak roda sehingga 3,450 mm. Sebagai perbandingan, model ‘limo’ terkenal di Malaysia, BMW 7 Series misalnya mempunyai panjang 5,260 mm dengan jarak roda 3,210 mm.
Sesuai dengan kehadiran limousine ini adalah enjin V8 5.0 liter yang dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan, mampu menjana sehingga 451 PS kuasa kuda. Kesemua tenaga ini disalurkan ke empat-empat tayar melalui sistem pacuan semua roda.
Baca: Spyshot: Genesis G80, versi sedan GV80 ini akan dilancarkan di Malaysia ke?
Pada bahagian dalam, ia dilengkapi dengan kesemua ciri mewah yang hanya boleh diidamkan. Terdapat skrin untuk menonton televisyen, kemasan kulit semi anilina, dan kerusi penumpang yang boleh dilaraskan 18-arah. Perehat kaki di bawah kerusi penumpang juga memberi keselesaan maksimum kepada para VIP.
Genesis mungkin sedikit asing di Malaysia namun tidak di seluruh dunia. Model mewah dari Korea ini mensasarkan jenama ultra-mewah lain seperti Maybach dan Cadillac. Harga asas bagi sebuah Genesis G90 Limousine bermula dari USD 138,000 (RM 584,499, sebelum cukai) di mana limousine milik Sultan Johor ini tentunya lebih mewah daripada model asas.
Kenderaan rasmi baharu tersebut dilihat ketika baginda hadir ke majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.
Baca: Jualan Genesis cecah 500,000 unit dalam masa 5 tahun, boleh tapau pasaran Malaysia?
Haris Penulis
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.