Honda HR-V 2021 serba baru didedah sebelum debut global!
Faisal Β· Feb 10, 2021 11:11 AM
0
0
Apa yang anda lihat di sini ialah gambaran sebenar buat Honda HR-V 2021 serba baru. Paten ini tertular sebelum pelancaran debut global yang akan berlangsung pada 18 Februari ini.
Berdasar intipan ini, Honda HR-V generasi kedua menampilkan visual yang lebih rapi dan tajam.
Wajah depan yang bulat telah diganti dengan gril besar dan lampu LED yang lebih ‘macho’.
Apa yang menarik pada generasi kali ini ialah dua jenis gril yang berbeza – kemasan melintang dan kemasan berlian.
Nampaknya, bampar depan dan belakang juga hadir dengan dua jenis reka bentuk. Salah satunya nampak lebih sporty. Permintaan pasaran yang berlainan mungkin?
Pada bahagian sisi, Honda HR-V generasi baru masih mengekalkan identiti bumbung yang landai dan pemegang pintu di tiang-C.
Di belakang, sentuhan bar melintang melengkapi rekaan lampu belakang yang lebih tajam. Macam Toyota Harrier kan?
Sekali lagi, perbezaan pada bentuk bampar yang berlainan dapat dilihat di atas.
Secara teknikal, Honda HR-V dijual sebagai ‘Honda Vezel’ di Jepun. Debut global untuk keluaran terbaru buat SUV segmen B ini dijadualkan pada minggu depan. Yang pastinya, ia akan ditawarkan dengan enjin hibrid i-MMD.
Di samping itu, ciri pintu but elektronik, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, dan warna interior dwi-tona (seperti Honda City) juga bakal hadir pada generasi kali ini. Oleh itu, ikuti kami untuk maklumat terkini mengenai Honda HR-V 2021 serba baru.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.