Gambaran dekat: Proton Persona facelift 2022, kemaskini terbaik setakat ini!
Faisal · Aug 23, 2021 02:00 PM
Selain Iriz, Proton Persona juga menerima facelift 2022. Sebelum ini, kami telah perincikan mengenai perbezaan diantara model Baru vs Lama. Jadi untuk kali ini, mari kita lihat Proton Persona 2022 dengan lebih dekat lagi melalui gambaran secara langsung.
Mengenai keluaran kali ini, Persona ditawarkan dengan varian Standard, Executive, dan Premium. Kesemua varian tersebut menggunakan enjin petrol 1.6L aspirasi natural dan transmisi CVT yang dinaik taraf dengan ciri 5 kelajuan maya dan pemilih mod pemanduan.
Model yang diperlihatkan ini adalah Persona Executive, iaitu varian pertengahan.
Selain beberapa sentuhan baru, Persona 2022 sebenarnya nampak hampir sama dengan model sebelum ini. Apapun, gril ‘Infinite Weave’ dan logo Proton yang baharu membuatkan ia nampak lebih moden.
Untuk maklumat anda, varian Premium menambah ciri lampu depan jenis LED, spoiler belakang yang berwarna hitam, dan bumbung ala panoramik.
Pada bahagian tepi, varian Standard datang dengan rim 15 inci. Varian Executive dan Premium pula menyerlah dengan saiz 16 inci. Eksklusif untuk varian Premium adalah sentuhan dwi-tona.
Kalau anda perasan, profil tinggi yang ada pada Persona selama ini masih dikekalkan. Tetapi untuk kali ini, ciri lampu kabus belakang tidak lagi didatangkan.
Melengkapi keseluruhan pembaharuan eksterior pada Proton Persona 2022 adalah penawaran warna Space Grey yang diambil dari Proton X70.
Interior – sentuhan terbaru
Pada bahagian dalam, pembaharuan paling ketara yang dapat dilihat ialah penggunaan skrin infotainment 8 inci jenis terapung. Varian Standard pula beransur dengan unit multimedia konvensional, sama seperti varian asas untuk Saga dan Iriz.
Beralih ke bahagian bawah, posisi corong penyaman udara serta lokasi butang lampu kecemasan dan kunci pintu telah diubah supaya nampak lebih kemas. Pada masa yang sama, kawalan penyaman udaranya diperbaharui dengan jenis digital.
Umumnya, varian Executive kekas dengan kemasan bahan fabrik seperti varian Standard. Apa yang baru untuk kali ini ialah kemasan kulit berwarna coklat pada varian Premium.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen