Bekalan cip semikonduktor berkurang, produksi kereta di Malaysia akan terganggu
Mersita · Jan 26, 2021 04:00 PM
0
0
Walaupun industri automotif negara kita kembali bernafas setelah MITI membenarkan semula industri pengilangan kereta untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini, rakan kami yang bekerja di sektor pengilangan ini memberitahu yang isu kekurangan bekalan cip semikonduktor di dunia kini telah melanda Malaysia. Ini bermaksud barisan produksi akan terhenti sekali lagi.
Bukan semua pengilang menghadapi masalah sama setakat ini, tapi kami difahamkan yang beberapa pengilang penting tempatan termasuklah Proton kini sudahpun mengecilkan kapasiti produksi mereka disebabkan oleh kekurangan bekalan komponen-komponen elektronik.
Oleh itu, jika anda salah seorang pelanggan yang sedang menunggu Proton X50, diharap bersabar kerana perkara ini akan melambatkan lagi proses pemilikan kereta anda. Tapi, sama seperti impak PKP, perkara ini terpaksa dihadapi oleh semua pengilang dan tak banyak perkara yang boleh dilakukan oleh Proton bagi menyelesaikan isu ini.
Kekurangan bekalan bagi cip ini dihadapi secara global – kilang-kilang di semua pusat pengilangan automotif di dunia terkesan olehnya.
Dalam bulan Disember sahaja, Volkswagen kehilangan hampir 10,000 kereta dalam produksi di China disebabkan oleh kekurangan bekalan cip pada tahap global. Toyota juga terpaksa menghentikan produksi kilang mereka di Guangzhou selama hampir dua minggu sebelum memulakannya semula awal minggu lepas. Tidak terkecuali juga Honda yang mengurangkan produksi mereka di China – ironik kerana banyak cip-cip ini diambil dari China.
Di Eropah pula, Audi mencutikan hampir 10,000 kakitangan mereka dalam usaha untuk mengurangkan masa bekerja di kilang-kilang utamanya di Ingolstadt dan Neckarsulm.
Daimler juga telah mengecilkan produksi mereka di Rastatt, Jerman dan Kecskemet, Hungary – dua kilang utamanya yang menghasilkan barisan kereta kompak popular mereka (A-Class, CLA, GLA, dan GLB).
Volkswagen juga mengambil langkah sama di Emden, kilang yang menghasilkan Passat dan Arteon, dan juga di Wolfsburg, untuk Golf dan Tiguan.
Di Jepun pula, Nissan mengecilkan produksinya di kilang Oppama mereka, dimana sasaran produksi Note yang baru dilancarkan dipotong satu pertiga – dari 15,000 unit kepada hanya 5,000 unit sebulan.
Lain-lain kilang domestik di negara itu seperti kilang milik Toyota, Honda, Subaru, dan Mazda juga dijangka untuk mengurangkan jumlah produksi mereka.
Kekurangan bekalan ini juga menaikkan lagi harga cip-cip tersebut, memberi impak yang lebih buruk dalam situasi ini.
Apakah yang menyebabkan kekurangan bekalan cip elektronik ini?
Pandemik COVID-19 telah memaksa banyak industri-industri untuk membiarkan tenaga kerja mereka bekerja dari rumah. Hasilnya, permintaan bagi gajet-gajet dan barangan elektronik seperti komputer riba, konsol permainan, serta peralatan pejabat rumah yang lain meningkat secara mendadak.
Memandangkan pusat-pusat hiburan, panggung wayang, dan aktiviti riadah di luar terhenti di kebanyakan negara termasuklah Malaysia, permintaan bagi konsol permainan, TV, dan produk-produk hiburan lain mencanak naik.
Apabila China kembali pulih dari gelombang pertama COVID-19 dan mula menghentikan perintah kawalan pergerakan mereka, permintaan bagi bermacam-macam jenis produk konsumer, terutama sekali kereta, mula meningkat secara mendadak.
Di samping itu, aktiviti-aktiviti perkilangan di negara-negara lain terutama sekali di Asia Tenggara, masih tidak dapat beroperasi pada kapasiti maksimum. Hasilnya, jumlah bekalan bagi bahan-bahan penting yang lain juga kekal pada tahap yang rendah.
China, Taiwan, Korea Selatan, dan juga Jepun merupakan pembekal utama cip semikonduktor di dunia.
Bahan elektronik automotif merupakan sektor keempat terbesar bagi industri semikonduktor, manakala di atasnya pula ialah pemprosesan data, komunikasi, dan barangan elektronik konsumer.
Continental Automotive, pembekal utama bagi bahan elektronik automotif memberitahu Deutsche World Jerman:
“Setelah industri ditutup pada fasa awal krisis ini yang menyebabkan penurunan mendadak dalam permintaan, pengilang-pengilang kereta di semua rantau-rantau dunia meningkatkan jumlah produksi mereka dengan lebih pantas berbanding jangkaan pakar-pakar pasaran. Perkara ini menyebabkan kekurangan bekalan berskala besar bagi semikonduktor.”
Seperti semua industri pengilangan termasuklah automotif, industri semikonduktor bergantung kepada angka ramalan bagi merancang produksi mereka, dengan masa yang mencukupi bagi mengkoordinasi aspek logistik dalam pengambilan bahan-bahan dari serata dunia.
“Dengan masa petunjuk (lead times) sekitar enam ke sembilan bulan, industri semikonduktor belum dapat lagi menaikkan skala produksi mereka dengan cukup pantas bagi memenuhi permintaan yang tiba-tiba meningkat dalam industri automotif,” kata Continental, mengaitkan masalah ini kepada tempahan berlebihan di pusat-pusat industri lain seperti barang elektronik konsumer.
Mengapa cip-cip ini diperlukan di dalam kereta?
Kereta-kereta masa kini sangat bergantung kepada sistem elektronik. Agak sukar untuk kita anggarkan jumlah bahagian-bahagian atau alatan elektronik yang ada di dalam sebuah kereta kerana kebanyakan daripadanya dipasang samada sebagai ‘sub-assembly’ atau sesuatu module yang setiap satunya terdiri daripada banyak sub-module.
Menurut satu kajian dibuat oleh Deloitte, bahan elektronik automotif dianggarkan merangkumi sehingga 40 peratus daripada kos sebuah kereta.
Walau Perodua Axia yang paling murah pun perlukan jumlah bahan elektronik yang agak banyak – pengurusan enjin, suntikan bahan api, kawalan transmisi, kawalan pembrekan (ABS), panel instrumen, module kawalan beg udara, radio, kawalan badan (kunci pintu, penggera, tingkat berkuasa), module untuk lampu brek LED, sensor undur, dan macam-macam lagi.
Perlu diingatkan yang varian-varian tinggi bagi Axia kini didatangkan dengan 'autonomous emergency braking' (AEB, atau ASA 2.0). Fungsi ini memerlukan kawalan elektronik bagi breknya dan juga kamera stereoskopik berketepatan tinggi.
Ini belum lagi kereta-kereta berspesifikasi lebih tinggi yang lain yang didatangkan dengan pelbagai bantuan pemanduan lebih canggih, skrin infotainmen lebih mewah, panel instrumen digital, penghawa dingin automatik multi-zone, ‘Head-up Display’, kebolehan pemanduan separa berautonomi.
Betapa teruknya impak yang akan dirasai oleh industri kereta Malaysia?
Kita kini hanya berada di tahap permulaan dalam masalah ini. Beberapa pengilang masih ada kereta dengan tahun pengilangan 2020 yang agak banyak. Tapi, bagi yang sudah kehabisan stok sebelum 31 Disember 2020, iaitu tarikh akhir asal/lama bagi kereta CKD bebas SST, mereka akan menghadapi kesukaran dalam penghasilan kereta tahun 2021.
“Ya, kami terpaksa kurangkan skala produksi kami disebabkan oleh masalah kekurangan bekalan ini. Agak sukar bagi kami untuk ramalkan bila kami akan dapat bekalan baru, tapi masalah yang lebih besar daripada bagi kami ialah situasi COVID-19 yang sangat tidak menentu. Kalaulah kami tak dapat mendaftarkan kereta-kereta baru kami dengan JPJ, tiada bezanya jika kami dapat hasilkan kereta tersebut atau tidak,” ujar satu sumber yang berkait rapat dengan isu ini.
Pemeriksaan oleh WapCar.my menunjukkan yang sama seperti PKP 1.0 tahun lepas, arah tuju kerajaan tentang samada perniagaan boleh terus beroperasi atau tidak ditafsirkan secara berbeza-beza antara kawasan berlainan.
Beberapa wakil jualan memberitahu kami yang majlis perbandaran tempatan mereka tidak membenarkan mereka untuk membuka bilik pameran.
Perkara yang sama juga berlaku di pejabat-pejabat JPJ. Khidmat yang ditawarkan dan kaunter yang dibuka berlainan antara satu bandar dengan bandar yang lain. Di beberapa lokasi, wakil-wakil jualan tidak dapat mencetak cukai jalan dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC, yang dahulunya dikenali sebagai ‘kad pendaftaran’) pelanggan-pelanggan mereka.
Tanpa VOC, permohonan pinjaman kereta pelanggan-pelanggan mereka tidak dapat diselesaikan.
Oleh itu, memandangkan kekurangan bekalan cip semikonduktor mula menjadi masalah besar bagi kilang-kilang pembuatan kereta, situasi pandemik dan pelbagai kekangan akibat PKP mendatangkan impak lebih besar kepada syarikat-syarikat kereta secara keseluruhannya. Kita sebagai pembeli pula semakin lamalah menunggu ketibaan kereta masing-masing.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.