Sebut je VTEC, ramai yang akan terbayang Honda Civic yang meluncur laju di lebuhraya dengan enjin yang mengaum garang. VTEC adalah teknologi istimewa Honda sejak dari tahun 1983. Kalau anda pernah memandu kereta dengan enjin VTEC, anda pasti ingat akan perbezaannya dengan enjin lain.
Peringatan: Artikel kali ini hanya berfokus kepada konsep asas VTEC. Perkara lain seperti i-VTEC dan VTC akan dibincangkan dalam entri lain.
VTEC ialah sebuah teknologi yang dibangunkan pada tahun 80-an dan ia cukup ringkas tapi mengagumkan. Walaupun sistem Variable Valve Lift (VVL) yang lain sudah pun dicipta (contohnya Fiat), tiada satu pun yang menggunakan ‘lockable rocker arms’ dan camshaft dwi-profail seperti VTEC Honda.
Walaupun nama VTEC cukup dikenali dikalangan peminat-peminat kereta, tak ramai yang betul-betul faham latar belakang dan cara VTEC berfungsi. Dalam artikel kali ini, kita cuba untuk rapatkan jurang tersebut supaya anda faham mengapa ia sangat digemari. Jom kita mulakan!
S: Soalan pertama, apa sebenarnya maksud VTEC?
J: VTEC adalah akronim bagi Variable Valve Timing & Lift Electronic Control. Perkara yang membuatkan VTEC istimewa sedikit ialah penggunaan Variable Valve Lift (VVL) nya. Ya, jenama lain pun ada VVL. Malah, Fiat telah mempatenkan sejenis VVL dahulu (US Patent 3,641,988). Kita akan bincangkan hal ini nanti.
S: Apa itu ‘valve lift’?
J: ‘Valve’ bermaksud injap dan ‘lift’ disini merujuk kepada ruang bukaan injap. Apabila omboh (‘piston’) bergerak ke atas dan ke bawah di dalam enjin, injap dibuka dan ditutup bagi membolehkan angin masuk (injap kemasukan/’intake’) dan seterusnya membolehkan udara keluar (injap ekzos). Injap ini pula dikawal oleh camshaft. Memandangkan 'valve lift' bermaksud ruang bukaan injap; semakin besar bukaannya, lebih banyak udara dan bahan api yang dipam masuk.
S: Apa pula maksud variable valve lift (VVL)?
J: Selalunya, injap hanya ada satu bukaan. Dengan VVL, injap boleh terbuka pada beberapa bukaan berbeza (selalunya dua).
Ada lagi cara lain untuk menghasilkan VVL, tapi teknologi VTEC Honda menggabungkan ‘lockable rocker arms’ dan camshaft dwi-profail.
Beginilah rupa camshaft dwi-profail VTEC:
Perasan tak, profail ‘cam’ yang kedua adalah lebih besar, membolehkan bukaan injap yang lebih besar.
Pada RPM yang lebih tinggi, enjin ini beroperasi dengan profail ‘cam’ yang lebih besar. Pada RPM rendah dan berat rendah, enjin ini beroperasi dengan profail ‘cam’ yang pertama.
Bagaimana enjin memilih profail ‘cam’ yang mana untuk digunakan?
Tekanan minyak mengawal pin penyegerak yang mengunci ‘rocker arms’. Apabila terkunci, rocker tersebut akan mengikut profail ‘cam’ yang lebih besar dan seterusnya menghasilkan bukaan injap yang lebih luas. Apabila kuncinya dilepaskan, ‘rocker arm’ tersebut akan mengikut profail ‘cam’ yang lebih kecil.
Itu saja. Inilah dia fungsi asas VTEC Honda. i-VTEC hanya menggabungkan VTEC dengan VTC Honda (Variable Timing Control).
S: Tapi, VTEC macam ringkas sangat je… Apa yang heboh sangat pasal teknologi ni?
J: Ya, memang konsep VTEC ini ringkas saja. Profail ‘cam’ yang berlainan akan membuatkan kelakuan enjin juga jadi berbeza. Kereta berprestasi tinggi selalunya mempunyai bukaan injap yang lebih besar bagi membolehkan udara masuk sebanyak yang boleh. Manakala, kereta yang cekap petrol selalunya mempunyai bukaan injap yang lebih kecil.
VTEC (pada tahun 1980-an) membolehkan anda untuk mempunyai dua sifat enjin yang berlainan dalam satu enjin. Inilah yang dihebohkan peminatnya. Dan VTEC juga, berlainan daripada sistem VVL lain, menggabungkan ‘rocker arms’ yang boleh dikunci dengan ‘camshaft’ dwi-profail.
Jika anda mahu enjin lebih cekap petrol, profail ‘cam’ yang kecil dipilih. Tapi apabila anda mahukan kuasa lebih, profail ‘cam’ yang besar boleh dipilih. Semudah itu.
Pada terasnya, perbezaan paling besar yang dibawa oleh VTEC ialah pengenalan Variable Valve Lift (VVL) di dalam kereta produksi dengan menggunakan dua profail ‘cam’ yang berbeza pada hanya satu ‘camshaft’.
S: Oleh itu, bukankah VTEC hanyalah sejenis Variable Valve Timing (VVT)?
J: Bukan. VVL dan VVT adalah dua perkara berbeza. Sistem VVT Honda dipanggil VTC (Variable Timing Control). Variable valve timing secara asasnya ialah pemboleh-ubah fasa injap tersebut. Bukaan injap dalam sebuah sistem VVT mempunyai prestasi yang tidak menentu – ia samada boleh berfungsi dengan sangat baik atau sebaliknya. Bukaan injap tidak berubah di dalam sistem VVT.
S: Bilakah Honda mula-mula mencipta VTEC?
J: Pada tahun 1980-an. Konsep VTEC mula-mula digunakan di dalam motosikal iaitu Honda CBR400 pada tahun 1983. Pada masa itu, ia dikenali sebagai Revolution-Modulated Valve Control (REV).
Kereta pertama yang menggunakan sistem VTEC ialah Honda Integra XSi 1989. Syarikat Honda pada masa itu berumur lebih 40 tahun apabila teknologinya yang paling terkenal dicipta.
S: Ala, syarikat lain pun ada VVL. Apa yang istimewanya dengan VTEC ni?
J: Porsche telah memfailkan satu paten untuk VVL pada tahun 1959 tapi ia tidak diketahui samada sistem tersebut sudah dicuba atau belum. Sistem mereka menggunakan ‘cam’ yang berayun untuk mengubah saiz bukaan injap.
Kemudian, Fiat membangunkan satu prototaip VVL yang berfungsi (pada tahun 1960-an) dengan mempelbagaikan fulkrum pengikut ‘cam’nya dan mereka mempatenkannya (US Patent 3,641,988).
General Motors mempatenkan sistem VVL mereka sendiri pada tahun 1975, tapi mereka berdepan dengan masalah dan kemudiannya meninggalkan saja projek tersebut.
"Variatore di fase" Alfa Romeo ialah satu bentuk VVT. Bukan VVL. Teknologi VVL Fiat dimasukkan ke dalam kereta-kereta Alfa Romeo. VTEC menggunakan ‘rocker arms’ yang boleh dikunci dengan ‘camshaft’ dwi-profail.
S: Jenama lain yang mana lagi yang menggunakan VVL?
J: VVL ada pelbagai bentuk. Perbezaannya hanyalah dengan mekanisma kerja yang berlainan dengan nama yang berbeza.
Contoh VVL yang ada:
BMW - Valvetronic
Nissan - Nissan Ecology Oriented Variable Valve Lift and Timing
Toyota – VVTL-i
General Motors – Intake Valve Lift Control (IVLC)
Porsche – VarioCam Plus
Subaru – i-Active Valve Lift System (i-AVLS)
Mitsubishi - MIVEC
Proton – CPS
Kesimpulannya, Honda ialah perintis dengan teknologi VTECnya. Mereka mungkin bukannya yang pertama untuk menggunakan VVL, tapi merekalah syarikat yang pertama sekali yang menggabungkan ‘rocker arms’ yang boleh dikunci serta ‘camshafts’ dwi-profail.
Walaupun teknologinya tampak ringkas, Variable Valve Lift (VVL) membolehkan anda untuk menggabungkan dua sifat enjin yang berbeza di dalam hanya satu enjin dan mengubahnya mengikut kesesuaian ketika enjin dipasang.
Ini adalah satu solusi yang amat mudah dan ringkas tapi membuahkan hasil yang ketara. Suka atau tidak, VTEC berhak diangkat sebagai satu tonggak sejarah dalam dunia automotif.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.