'Super moped' WMoto sudah dipatenkan, lagi pencabar Y16ZR, Winner X bakal tiba!
Khairil ยท Sep 27, 2021 07:00 PM
0
0
Satu lagi perkembangan 'menggembirakan' buat penggemar motosikal kapcai terutama 'Super moped' apabila jenama tempatan, WMoto 'dalam perjalanan' untuk memperkenalkan modelnya yang tersendiri.
Informasi mengenainya kehadiran motosikal yang dinamakan WMoto F-15 ini diperoleh selepas terdedahnya dokumen di mana WMoto sudah pun mendaftarkan paten sebuah model baharu di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Maklumat dan imej dokumen berkenaan dikongsikan di laman Facebook Vanhoe Rage. Dan berikutan tarikh patennya masih baru iaitu 10 September lalu, tidak dapat dipastikan bila model itu akan tiba di pasaran.
Berdasarkan penggunaan nama F-15, model yang bakal dikeluarkan WMoto ini berkemungkinan besar akan menggunakan enjin bersesaran 150 cc sekaligus berada dalam segmen 'Super moped'.
Justeru, model terbaharu ini akan menjadi pencabar kepada model-model hangat lain di pasaran termasuklah Yamaha Y16ZR, YSuku, Honda RS150R, Benelli R18i, SYM VF3i 2021 serta model yang belum diperkenalkan, Honda Winner X dan Suzuki Belang R150 FI.
Menurut laporan rakan portal automotif popular tempatan Arena Motosikal, model berkenaan berkemungkinan besar adalah sama dengan model China iaitu Yin Gang Flash 150 atau dinamakan Rusi Flash 150 EFI yang dijual di pasaran negara jiran Filipina.
Dan laporan mengenai motosikal mirip model berkenaan sedang menjalani tunggang uji di Malaysia juga pernah kami siarkan sebelum ini. Sila baca pada pautan di bawah.
Jika benar model yang sedang dipatenkan itu adalah model Yin Gang Flash 150 atau Rusi Flash 150, motosikal berkenaan sememangnya mempunyai reka bentuk yang sporty dan menarik.
Spesifikasinya juga disifatkan sebagai 'boleh tahan' iaitu datang dengan enjin empat lejang 149.2 cc, Penyejuk Udara, patuh piawaian Euro 4 dan menggunakan sistem EFI daripada jenama Delphi.
Enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi lima kelajuan dan mampu menghsilkan kuasa 10.4 Hp pada 7,000 rpm dan tork 11.5 Nm pada 5,500 rpm.
Sekalipun spesifikasinya mungkin sedikit kalah berbanding pencabar yang lebih unggul di pasaran ketika ini, antara 'kekuatan' model ini pastinya membabitkan harga yang pastinya tiba dengan penawaran lebih mampu milik. Sama-sama kita nantikan.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.