Hyundai dilaporkan ‘sangat berminat’ bekal 400 unit kenderaan 6x6 untuk Tentera Darat Malaysia!
Haris · Sep 7, 2021 02:00 PM
0
0
Hyundai Rotem, syarikat subsidiari industri berat di bawah Hyundai Motor Group dilaporkan berminat untuk bersaing tender bagi membekalkan 400 unit kenderaan 6x6 bagi kegunaan Tentera Darat Malaysia. Angkatan tentera Malaysia dilihat bakal menggantikan model 6x6 sedia ada yang lama kepada model terkini.
Menurut laporan Army Recognition, Hyundai Rotem dilihat bakal bersaing sengit dengan syarikat FNSS dari Turki. Sebanyak 4 negara yang berminat, 2 lagi adalah daripada General Dynamic Land System dari Kanada dan PT Pindad dari Indonesia yang mempunyai kepakaran masing-masing.
Menariknya, antara salah satu ciri utama kontrak kenderaan perisai beroda Tentera Darat Malaysia adalah syarikat yang terpilih akan menjadi sub-kontraktor sekiranya syarikat luar negara dipilih dengan syarat kenderaan 6x6 tersebut dipasang secara tempatan.
Hal ini bertujuan untuk memberi pertukaran pengetahuan antara syarikat luar dan syarikat tempatan di samping perkongsian modal insan.
Ketika ini, calon terkuat dilaporkan adalah FNSS Turki kerana sudah menjalinkan hubungan kerjasama tempatan melalui, DRB-Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd.
Usahasama itu membolehkan anak syarikat gergasi automotif itu mengeluarkan 257 buah kereta perisai tempur amfibia pelbagai fungsi, PARS 8x8 dijenamakan sebagai AV8 Gempita.
Walaubagaimanapun, Hyundai Rotem tidak boleh dipandang rendah kerana syarikat tersebut juga berpengalaman membekalkan keretapi untuk kegunaan KTM dan MRT. Selain itu, Malaysia turut mempunyai 111 unit kenderaan perisai K200A1 yang eksklusif untuk tentera Korea Selatan, memberi petanda hubungan baik antara Malaysia-Korea.
Taruhan Hyundai Rotem adalah K806. Model 6x6 K806 ini mampu mencapai kelajuan maksimum 100 km/j dengan 9 tentera bersenjata lengkap di dalam. Ia dapat dikonfigurasi sebagai APC, Armored Combat Vehicle (ACV) dengan menara 30 mm untuk dua orang, Medical Evacuation Vehicle (MEV), dan Mobile Gun System (MGS) dengan meriam 90mm.
Menjana K806 adalah pek kuasa enjin Hyundai H420 dengan kuasa 426 PS yang diselaraskan untuk kegunaan ketenteraan dan transmisi automatik ZF (7 kelajuan ke hadapan / 1 kelajuan terbalik).
PT Pindad bakal menawarkan model Anoa 6x6 Angkatan Darat Tentera Nasional Indonesia dengan versi Malaysia akan dikenali sebagai 'Rimau' manakala General Dynamic Land System dijangka menawarkan model baharu LAV 6x6.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.