Toyota Yaris 2023 gen baru bakal jadi Perodua Myvi DNGA 'rebadge' baru
Mersita · Aug 10, 2022 09:00 AM
0
0
Apabila Toyota mengeluarkan ‘teaser’ D92A 2023 Toyota Vios beberapa minggu lalu, beberapa bahagian sedan segmen B tersebut dikesan tampak serupa dengan Perodua Ativa – memberi klu tentang kaitan Vios dengan Daihatsu.
Memandangkan D92A Vios sedang dibangunkan oleh Daihatsu, kita tahu yang ia tak ada versi Perodua atau Daihatsu. Bagaimanapun, menurut OtoDriver, Yaris iaitu Vios versi hatchback akan ada versi Perodua/Daihatsu. Ini boleh disamakan dengan ketetapan yang ditentukan antara D27A Perodua Alza dan Toyota Veloz.
Berbekalkan maklumat ini, besar kemungkinannya yang 2023 Toyota Yaris generasi seterusnya akan menjadi model kembar bagi Perodua Myvi generasi baru kelak.
Lagipun, Perodua Myvi kini sudah memasuki tahun kelima dalam produksi dan model serba baru dijangka akan muncul tidak lama lagi.
Apabila Perodua Myvi generasi baru itu keluar kelak, ia akan mengikut jejak langkah Perodua Ativa dan Perodua Alza dalam penggunaan platform DNGA. Platform DNGA ini secara amnya adalah platform TNGA Toyota versi bajet.
Imbas semula, Myvi sudah diberi pelbagai pembaharuan pada November 2021. Hatchback segmen B popular ini dipadatkan dengan bermacam-macam naiktaraf keselamatan berserta D-CVT (Dual-mode CVT) yang juga boleh didapati pada Ativa dan Alza.
Myvi generasi baru (dan Yaris, pada tahap tertentu) dijangka akan didatangkan dengan kelengkapan-kelengkapan ini. Enjin petrol ‘naturally-aspirated’ 2NR 4 silinder turut dijangka untuk menggerakkan Myvi atau Yaris generasi baru di masa hadapan.
Sebagai info, model-model Perodua yang baru seperti Ativa dan Alza dibangunkan dengan kerjasama antara Perodua dan Daihatsu. Pengeluar kereta dari Jepun itu telah menubuhkan sebuah syarikat dalaman bersama Toyota yang dipanggil Emerging Market Compact Car Company (EMCC). Syarikat ini bertanggungjawab dalam membangunkan kereta-kereta kompak untuk kumpulan Toyota Motor.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.