MUDA dakwa syarikat jual baju diberi tender baiki eskalator LRT Sri Rampai, DBKL tak mengaku. Siapa betul?
Mersita ยท Jun 17, 2022 05:00 PM
0
0
Sejak beberapa hari lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) berperang lidah atas isu penganugerahan tender untuk kerja pembaikan tangga bergerak/eskalator di stesen LRT Sri Rampai.
Pada 14 Jun 2022, Pengerusi MUDA Cawangan Wilayah Persekutuan Taufiq Zarak memberitahu Focus Malaysia tentang betapa terkejutnya pihak mereka apabila mengetahui yang kontrak membaiki eskalator di stesen berkenaan telah diberi kepada sebuah syarikat menjual pakaian.
Taufiq mendedahkan yang kontraktor berkenaan, Bossque Skyline Sdn Bhd, sebenarnya adalah syarikat berdaftar sebagai perusahaan menjual pakaian dan tiada kaitan langsung dengan bidang kejuruteraan yang sepatutnya menjalankan penyelenggaraan eskalator.
Pemeriksaan menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Bossque Skyline, dahulunya dikenali sebagai Shakco Collections Sdn Bhd setakat 26 April 2019, telah dianugerahkan kontrak untuk membaiki eskalator yang sudah lama rosak itu pada awal tahun ini.
Menurut maklumat pada papan tanda di stesen berkenaan, kerja-kerja pembaikan eskalator berkenaan dijadualkan untuk siap pada April 2022. Walau bagaimanapun, eskalator berkenaan baru sahaja siap dibaiki sepenuhnya dan mula beroperasi pada Rabu, 15 Jun 2022 – sehari selepas Taufiq mempersoalkan keputusan dibuat DBKL.
Isu eskalator Stesen LRT Sri Rampai yang sering rosak sudah membelenggu penduduk dan pengguna LRT di sekitar kawasan itu sejak tahun 2016 lagi.
Apabila laporan oleh Focus Malaysia ini mula dikeluarkan, RapidRail serta-merta mengeluarkan kenyataan mengatakan yang eskalator berkenaan terletak di luar bidang kuasa RapidRail kerana ia adalah untuk membawa penumpang dari tempat letak kereta dan penduduk dari seberang jambatan berhampiran.
DBKL pula telah membalas persoalan diutarakan Taufiq tentang sebab kerja-kerja pembaikan tersebut diserahkan kepada syarikat yang langsung tiada pengalaman dalam kerja-kerja kejuruteraan.
Menurut satu kenyataan, DBKL berkata yang tender tersebut telah dibuka kepada kontraktor-kontraktor Bumiputra bermula dari 2 – 15 April 2022 dan menegaskan bahawa ia dianugerahkan secara adil kepada Bossque Skyline kerana mereka telah lulus penilaian yang ditetapkan oleh badan penilaian tender.
DBKL juga berkata yang syarikat itu stabil dari segi kewangan dan harga yang ditawarkan adalah berpatutan. Malah, syarikat itu juga mempunyai sijil perolehan awam dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Selain itu, syarikat itu juga mempunyai sijil daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan, berserta sijil kontraktor Bumiputra untuk pembinaan, kejuruteraan awam, serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.
Memandangkan kini eskalator berkenaan sudah kembali berfungsi, pengguna media sosial masih lagi tertanya-tanya samada kerja pembaikan tersebut dilaksanakan dengan sempurna atau tidak memandangkan syarikat berkenaan tiada pengalaman dalam kerja-kerja melibatkan kejuruteraan.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.