Kedai tayar dan pusat servis kenderaan sukar dapat kelulusan MITI. Apa kes, kenapa lambat?
Mersita · Jun 3, 2021 05:00 PM
0
0
Banyak bengkel-bengkel kereta persendirian serta pusat-pusat servis yang diiktiraf masih lagi menunggu kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 penuh atau ‘total lockdown’ kali ini.
Perlu diingatkan bahawa bengkel-bengkel inilah yang dahulunya mendapat kelulusan daripada MITI untuk beroperasi semasa PKP 1.0 dan 2.0. Namun, agak aneh bila difikirkan yang kali ini pemilik bengkel-bengkel diberi status “tidak lulus” atau menunggu pengesahan.
Pengusaha bengkel kereta dan pusat servis sedang dalam keadaan panik kerana surat kelulusan MITI yang lama dikatakan akan dibatalkan dalam masa terdekat ini, ditambah pula dengan bebanan penutupan operasi sepanjang dua minggu yang akan datang.
“Bukankah kami termasuk dalam servis perlu atau ‘essential services’? Kenapa benda senang dibuat jadi susah? Kilang arak diberi pula kelulusan segera (walaupun kini ia sudah ditarik balik).
“Jika kereta polis, van penghantaran, mahupun ambulans perlu membaiki tayar pancit dan kami pula tidak dibenarkan beroperasi, siapa yang akan selesaikan masalah mereka?” ujar seorang pemilik bengkel dan kedai tayar di Kuala Lumpur.
Sejurus selepas pihak kerajaan mengumumkan satu ‘U-turn’ dimana surat/permit kebenaran boleh diperolehi daripada 'COVID-19 Intelligent Management System' (CIMS) 3.0 kelolaan MITI (pada 6 petang, 31 Mei – hanya sehari sebelum ‘total lockdown’), begitu ramai peniaga berebut-rebut untuk ‘log in’ ke laman sesawang tersebut sehingga membuatkannya terlalu sesak dan tidak stabil.
Segelintir peniaga berjaya menyelesaikan permohonan mereka pada 1 Jun, namun masih belum dapat kelulusan dari MITI. Ada juga kes-kes dimana permohonan bengkel kereta serta pusat servis berdaftar ditolak serta-merta walaupun mereka tersenarai di bawah ‘essential services’.
Setakat hari ini, pihak polis masih akan menerima surat/permit lama MITI namun tiba masanya nanti (diumumkan 4 Jun), perniagaan yang masih belum memperoleh kelulusan MITI akan terpaksa tutup walaupun mereka dianggap sebagai ‘essential services’.
Seorang pengusaha kedai membaiki tayar memberitahu WapCar: “U-turn yang terlalu banyak ini menyebabkan kami tertekan. Saya mahu terus berniaga dan saya terpaksa mengurangkan pekerja kepada hanya 2 mekanik dan saya sendiri.
“Saya ikut semua SOP yang ditetapkan, segala dokumen perlu juga sudah dihantar, namun saya masih belum dapat kelulusan sehingga ke hari ini (12.30 pm, 3 Jun).
“Jika kerajaan melarang saya untuk berniaga, tak apa, saya akur dan tutup kedai. Tapi, jika ia masih berterusan sebegini, bagaimana kami hendak bertahan?
“Saya bukannya menjual sehingga 1,000 tayar sehari. Sejak kebelakangan ini, pelanggan masuk ke kedai untuk menampal tayar, menukar hanya satu tayar, ataupun hanya untuk servis biasa. Jika pihak kerajaan boleh memudahkan dan menjelaskan proses dengan baik, kami akan rasa amat bersyukur.”
Nombor telefon yang diiklankan di laman sesawang MITI bagi kelulusan CMS 3.0 sudah dihubungi berkali-kali, namun tiada jawapan.
Memetik laporan Berita Harian, Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Suhaimi Shahadan, berkata keadaan itu menggambarkan kerajaan seolah-olah tidak bersedia untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh, walaupun sudah lebih setahun berdepan keadaan hampir sama.
"Kerajaan sepatutnya sudah pun mempunyai pangkalan data mengenai pengusaha sektor ekonomi mengikut senarai perlu dan lain-lain, selain memberi kelulusan automatik kepada pemohon mengikut kriteria terbaharu," katanya kepada akhbar itu.
Alamatnya, jika perkara ini berterusan dan tiba-tiba tayar anda pancit, pandai-pandailah, ya.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.