Semalam Nissan melancarkan Nissan Note 2021 baru di Jepun. Hatchback cilik segmen B ini adalah pesaing kepada Toyota Yaris dan Honda Jazz (Fit) di pasaran Jepun (JDM). Berbanding Note generasi terdahulu, model ini hanya ditawarkan dengan enjin siri e-Power hibrid.
Berbanding hibrid selari biasa seperti Honda City RS e: HEV ataupun seri selari seperti Toyota Prius, enjin hibrid siri Nissan e-Power tidak menggerakkan roda secara langsung. Sebaliknya, enjin 1.2 liter 3-silinder aspirasi natural hanya digunakan sebagai penjana.
Jangan mengelirukan ini dengan kenderaan elektrik jarak jauh, kerana tiada tempat untuk ‘plug-in’.
Nissan mengatakan bahawa enjin e-Power cukup pintar untuk mengecas bateri voltan tinggi hanya apabila bunyi jalan cukup tinggi untuk menutupi bunyi enjin. Masalah dengan kereta elektrik adalah kerana ia sangat senyap, bunyi bising yang tidak disamarkan tiba-tiba terasa begitu kuat.
Cara ini, tahap kebisingan kabin dapat dikawal. Enjin ini beroperasi di rpm rendah dan kurang digunakan semasa pemanduan biasa. Terdapat juga varian pacuan semua roda dengan gandar belakang yang dikawal secara elektrik.
Oleh kerana trenkuasa Note kini elektrik, Nissan tidak perlu menggunakan tombol gear konvensional. Ia menggunakan tombol gear shift-by-wire kecil yang membebaskan ruang di bawahnya untuk konsol tengah dua peringkat.
Note pasaran Jepun dilengkapi dengan Nissan ProPilot semi-autonomi dengan ciri Navi Link. Sistem ini memasangkan sistem navigasi dengan kawalan pelayaran adaptif secara aktif untuk menyesuaikan kelajuan kenderaan sebelum tiba di selekoh, serta bertindak balas terhadap perubahan had kelajuan.
Nissan Note 2021 akan dijual secara rasmi pada 23 Disember. Walaupun Nissan tidak mendedahkan banyak maklumat tentang spesifikasi Note, kami tahu bahawa Nissan Kicks yang bakal dilancarkan di Malaysia tahun depan menggunakan trenkuasa e-Power yang sama. Ia menghasilkan 129 PS dan 260 Nm.
Nissan Note generasi sekarang masih lagi ada di Thailand. Model generasi awal juga pernah ditayangkan di Pameran Kereta Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2013.
Nissan Note tidak pernah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, dan rasanya ia adalah sebuah keputusan yang baik. Ini kerana Nissan Note bukanlah model yang hangat di Thailand berbanding pesaing seperti Honda Jazz dan Toyota Yaris. Malah, penjualannya lagi sikit berbanding Mazda 2 Hatchback.
Pada separuh pertama tahun 2020, Nissan hanya menjual 2,308 unit Note berbanding 10,679 unit Toyota Yaris, 6,310 unit Honda Jazz, dan 3,200 unit Mazda 2 Hatchback menurut data yang dikumpulkan oleh Headlightmag. Sudah tentu, Honda Jazz telah digantikan oleh Honda City Hatchback.